KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Wisma Putra mahu membawa filem pendek karya penuntut Universiti Multimedia (MMU) ke festival filem luar negara bagi membuktikan keupayaan pembikin kandungan kreatif muda di pasaran antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata pemerhatian pegawai Wisma Putra yang menghadiri pesta filem dan program kandungan kreatif di luar negara menunjukkan karya tempatan kurang ditonjolkan.

“Sehubungan itu, kerajaan bercadang mempromosikan kandungan kreatif tempatan seperti filem pendek. Sebagai permulaan, kami bercadang menayangkan filem dihasilkan penuntut MMU di Eropah seperti Jerman dan Belanda,” katanya yang melawat MMU di Cyberjaya, baru-baru ini.

Saifuddin berkata, filem pendek dihasilkan pelajar MMU didapati bermutu dan memiliki nilai sosiobudaya yang sesuai ditayangkan, terutama kepada diplomat asing yang mahu berkunjung ke Malaysia.

Pada lawatan ke MMU, Saifuddin sempat menonton beberapa filem pendek dihasilkan pelajar dan meninjau kemudahan produksi filem di institusi pengajian tinggi (IPT) itu.

Sementara itu, Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud teruja dengan hasrat Wisma Putra membawa filem dihasilkan penuntut universiti itu ke luar negara.

Mazliham menyifatkan langkah itu suatu kesinambungan kepada kejayaan yang diraih pelajar dan alumni MMU.

“Dengan bimbingan pensyarah, beberapa pelajar MMU berjaya membawa filem mereka ke pesta filem terkemuka antarabangsa seperti Singapore International Film Festival, Cardiff International Film Festival (UK) dan Fano International Film Festival (Itali).

“Antara judul filem dihasilkan pelajar MMU yang menerima anugerah antarabangsa adalah Weeping Birds, Samudera, Suraya, Torture, The Gold Chain, Kantoi, Spotlight dan banyak lagi,” katanya.

Tambah Mazliham, antara bekas penuntut MMU yang menjadi penggerak utama industri perfileman dan kandungan kreatif adalah penerbit film animasi BoBoiBoy, Nizam Razak yang pernah terbabit dalam menghasilkan siri animasi Upin & Ipin.

Selain itu, pengarah filem animasi Ejen Ali, Muhammad Usamah Zaid Yasin.

“MMU juga berjaya melahirkan beberapa pengarah filem yang tidak kurang hebat seperti Ghaz Abu Bakar yang menghasikan filem Polis Evo 1 dan Vimala Perumai yang mengarah filem Tamil blockbuster, Vedigundu Pasangge.

“Sebahagian alumni Fakulti Seni Senimatik (FCA) memberi impak besar dan menyumbang kepada industri kreatif apabila memegang jawatan penting dalam syarikat penghasilan kandungan kreatif seperti Astro Shaw dan VIU Malaysia,” katanya.

FCA ditubuhkan MMU pada 2016 bagi menghasilkan graduan dalam industri kreatif dan perfileman.

Pada awal penubuhannya, FCA pernah menjalin kolaborasi dengan University of Southern California (USC), Amerika Syarikat (AS) yang melahirkan tokoh perfileman masyhur seperti pengarah filem Star Wars, George Lucas.