LARUT, 13 Ogos – Setiap pemimpin politik perlu bekerjasama dan mengelak sifat angkuh, sombong serta bongkak bagi membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kenyataan dibuat penganalisis politik berhubung tiada parti bertanding pada PRU-15 mampu meraih kemenangan majoriti dan memerlukan penggabungan parti bagi membentuk Kerajaan Pusat mungkin ada kebenarannya.

“Penganalisis ini tentunya melakukan kajian mereka terhadap semua parti yang ada berdasarkan pengetahuan mereka dengan cara tertentu.

“Jadi, pemimpin parti yang menerima analisis sebegini perlu muhasabah diri dan menyedari tujuan serta matlamat perjuangan parti mereka.

“Susulan itu, jika selepas PRU-15 parti yang menang tidak dapat mencapai majoriti dan terpaksa bergabung seperti bayangan diberikan penganalisis politik, pemimpin parti perlu jadikan kerjasama itu untuk membawa negara maju dengan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Komuniti Bebas Jenayah dan Dadah di Dewan Semai Bakti Felda Ijok di sini, hari ini.

Hamzah berkata, mereka yang dilihat angkuh dan sombong serta tidak mahu bekerjasama akan dihukum rakyat pada PRU-15 nanti.

“Pemimpin tidak boleh ada sikap negatif termasuk cenderung kepada satu pihak saja kerana negara ini mempunyai pelbagai agama dan berbilang kaum,” katanya