MARANG, 13 Ogos – Perikatan Nasional (PN) yakin 6 daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Umno di Terengganu akan ditawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PN Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata ini berdasarkan penilaian yang dibuat oleh beliau selepas turun padang ke akar umbi di negeri itu.

“Saya jangka 10 kerusi DUN Umno kita akan dapat 6 kerusi. Kita boleh menang asasnya.

“Saya yakin boleh bantu di situ. Saya buat penilaian sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perjumpaan tertutup Penerangan BERSATU di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Penerangan BERSATU Malaysia menganjurkan perjumpaan tertutup bersama jentera Bahagian BERSATU Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Program tertutup ini dirasmikan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Dalam pada itu, Razali berkata soal berapa kerusi BERSATU akan bertanding bukan menjadi perkara utama.

Beliau berkata apa yang penting, calon mana yang boleh menang di DUN Terengganu.

“Tidak kira BERSATU, PAS atau Gerakan. Yang penting boleh menang. Bukan kira berapa banyak kerusi BERSATU nak bertanding di Terengganu,” katanya.

Tambahnya, berhubung bertanding kerusi Parlimen atau DUN, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa PN dan BERSATU.