KUALA TERENGGANU, 14 Ogos – BERSATU menolak dakwaan bahawa parti itu kononnya bergantung kepada parti komponen lain di dalam Perikatan Nasional (PN).

Malah, dakwaan dibuat bekas pemimpin PAS yang dipecat daripada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali bahawa BERSATU adalah sebuah parti kecil, adalah tidak benar sama sekali.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Rosol Wahid berkata PN yang dianggotai BERSATU, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan mempunyai peranan tersendiri untuk mengukuhkan lagi gabungan itu di bawah satu bendera.

“Sebab itu tak timbul isu siapa guna siapa… parti mana pergunakan parti apa kerana terdapat perjanjian persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara semua parti di bawah PN.

“Kita semua bekerja sebagai satu pasukan yang besar di bawah nama PN,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di sebuah pasar raya dekat Manir di Kuala Terengganu, pada Sabtu.

Khairuddin yang turut dipecat sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini dilaporkan berkata BERSATU yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ‘parti kecil’ yang hanya bergantung kepada kekuatan parti lain dalam PN.

Malah, bekas pemimpin PAS itu juga menyifatkan tindakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menjalinkan kerjasama dengan BERSATU adalah strategi salah kerana sepatutnya kerjasama itu dijalin dengan UMNO.

Mengulas lanjut, Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, sesiapa sahaja boleh memberi pandangan peribadi mereka namun penilaian sebenar dan paling penting bagi PN adalah penerimaan rakyat di peringkat akar umbi.

Sejak awal penubuhan, BERSATU meletakkan dirinya sebagai sebuah parti untuk orang Melayu dan Pribumi yang menawarkan politik dan pentadbiran yang bersih, berintegriti dan memerangi amalan rasuah, serta menjaga kebajikan dan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum.