KUALA TERENGGANU, 14 Ogos – BERSATU mengecam sekiranya dakwaan Belanjawan 2023 untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi jentera Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Yazid Mohd Yunus menyifatkan itu satu perkara yang memalukan.

“Sumber dalaman UMNO mengatakan mereka sudah mendapat kata putus bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melakukan pembubaran Parlimen sejurus Belanjawan 2023 dibentangkan pada Oktober.

“Jika benar perkara ini ianya amat memalukan kerana kita sedia maklum pimpinan dari parti mereka telah disusun ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC),syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan kementerian untuk menyambut ‘gula-gula’ dan ‘minyak’ dari belanjawan yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan semasa menghadiri Program Jelajah Penerangan Terengganu di Manor Beach Resort, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Yazid yang juga Ketua Bahagian BERSATU Paya Besar berkata tindakan itu menunjukkan belanjawan kali ini hanya demi jentera pilihan raya parti tersebut.

Katanya, sepatutnya bila parti bertanding haruslah menggunakan kemampuan sendiri bukannya mengambil wang rakyat dan dengan tidak malu meraih undi mereka selepas itu.

“Belanjawan yang dibuat haruslah untuk membantu rakyat yang tengah susah sekarang ini serta memulihkan ekonomi negara.

“Nasihat saya cukuplah dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan kapal tempur pesisir (LCS).

“Negara kita sedang tenat jangan kita gelapkan masa depan anak cucu kita dengan kerakusan kita,” katanya.