KUANTAN, 14 Ogos – Kerajaan sedia membantu pelarian Myanmar, khususnya etnik Rohingya mengikuti latihan kemahiran ke arah memastikan warga negara berkenaan berkemahiran dalam bidang tertentu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata dengan memiliki kemahiran itu, majikan lebih bersedia untuk mengambil mereka bekerja.

Katanya, ketika ini, majikan tidak mahu menerima pelarian Myanmar bekerja kerana tidak mempunyai kemahiran asas.

“Sekarang, kita ada kekurangan buruh dari luar negara di restoran, sektor pembinaan dan perkilangan.

“Tetapi sebahagian pelarian mungkin tidak bersedia bekerja atau majikan tidak bersedia kerana pelarian Myanmar tidak mempunyai kemahiran asas.

“Atas dasar kemanusiaan, Malaysia akan membantu pelarian Myanmar yang ada di negara ini dengan menyediakan latihan kemahiran.

“Rakyat Malaysia tidak perlu gusar kerana kos latihan kemahiran tidak menggunakan dana rakyat, sebaliknya ia membabitkan dana dari luar negara.

“Sebagai menteri luar, saya akan melobi untuk mendapatkan dana dari luar negara, termasuk penderma antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Pengundi Muda Penentu Masa Hadapan Negara sempena Hari Belia Parlimen Indera Mahkota 2022, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Majlis Belia Malaysia, Izzat Afifi Abdul Hamid.

Mengulas jumlah pelarian Myanmar di negara ini, beliau berkata, kira-kira 200,000 warga negara itu berada di negara ini.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 150,000 orang adalah etnik Rohingya manakala bakinya etnik lain.

“Setakat ini, satu negara yang memberikan sumbangan dana yang besar ialah Qatar iaitu sejumlah ASD50 juta.

“Sejumlah ASD6 juta sudah dibelanjakan untuk hal ehwal kesihatan termasuk ketika pandemik COVID-19,” katanya.