LANGKAWI, 14 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM400 juta bagi melaksanakan program keusahawanan dalam usaha membantu golongan itu lebih berdaya maju.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, berkata peruntukan itu membabitkan kemudahan pembiayaan, penyediaan latihan dan pembangunan.

“Daripada jumlah itu, sejumlah RM328 juta sudah dibelanjakan dalam usaha menambah baik ilmu keusahawanan dan kemahiran baharu untuk mereka kembali berdaya saing pasca COVID-19.

“Sebagai contoh, pelaksanaan Program Pendigitalan Perniagaan (DigitalBiz) merangkumi transformasi, pemasaran, pembuatan dan kit permulaan berjaya menyokong kelangsungan perniagaan usahawan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Bicara Usahawan di sini, malam tadi.

Azizah berkata, MARA turut menjalin kerjasama dengan Shopee Malaysia, seiring usaha memperluas dan memperkasa pemasaran produk usahawan Bumiputera dalam talian.

Katanya, MARA memperuntukkan lebih RM34 juta tahun ini untuk membantu usahawan di Kedah.

“MARA Kedah meluluskan pembiayaan berjumlah RM29.9 juta setakat ini kepada 290 usahawan, termasuk pembiayaan khas usahawan wanita (DANANITA) berjumlah RM1.75 juta membabitkan 40 usahawan wanita.

“Bagi program latihan, sebanyak RM625,000 dibelanjakan membabitkan lebih 5,000 usahawan manakala RM2 juta lagi dibelanjakan bagi menguruskan 685 lot ruang niaga di seluruh negeri,” katanya.