KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Faktor perbezaan idealisme atau gagasan politik tidak menolak iltizam teras prinsip dalam menegak kebenaran, terutamanya isu ketirisan RM6 bilion skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM).

Ketua Penerangan Armada BERSATU Malaysia, Mohd Ashraf Mustaqim berkata kehadirannya atas kapisiti individu dalam protes ‘Mana Kapal LCS’ di ibu negara anjuran Parti MUDA dilihat mampu merintis kepada wahana norma politik baharu demi citra dan cita pendemokrasian di Malaysia.

“Hari ini kami menolak jalur sempit politik kepartian atas rasa tanggungjawab menyedarkan masyarakat tentang bahana yang lebih besar dan mudarat! Sedang rakyat berduka, sedang elit politik terus menerus menjarah hasil rakyat dan negara utamanya dari UMNO-BN!

“Dengan isu ketirisan RM6Bilion yang lesap seperti ‘halimunan’-nya kapal LCS! Atas perlakuan salah guna kuasa yang menggugat kedaulatan negara dan dibongkarkan PAC baru-baru ini, dalam pada menilai nasib rakyat seperti nelayan di bawah yang hidup pun susah! Nak beli sampan atau bot baru, enjin bot baru sebegitu perkakasan nelayan yang sudah rosak pun hingga menitis keringat air mata!

“Tapi para elit politik UMNO-BN terus menerus berjaya memperbodohkan dan menyusahkan rakyat dalam pusaka tercinta Malaysia! INI MASANYA KITA BANGKIT BERSAMA SEMULA! TEGAK JELAS SIAPA MUSUH SEBENAR KITA! MUSUH NYATA NEGARA!” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.

Mohd Ashraf hadir di hadapan kira-kira 200 orang yang berhimpun dalam protes ‘Mana Kapal LCS’ di Pusat Beli Belah Sogo, pada Ahad.

Hadir sama, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Mohd Ashraf berkata Armada BERSATU Malaysia juga turut menggerakkan petisyen rakyat atas perlakuan kecurangan pemimpin UMNO-BN dalam isu skandal LCS. (Rujuk: https://chng.it/b8FbbQ9r52)

Rabu lalu, BERSATU menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu berkaitan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kandungan utama memorandum adalah merayu limpah perkenan Seri Paduka Baginda agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat skandal projek berkenaan.