KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Seramai 15 pekerja anak syarikat Ketengah Holdings Sdn. Bhd. (KHSB) yang ditamatkan perkhidmatan mereka lebih awal daripada kontrak pada 26 Julai lalu, mendapat perhatian persidangan di Dewan Negara.

Senator Datuk Razali Idris (BERSATU) bangun bertanyakan soalan tambahan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung perkara terbabit.

“Apakah YB Menteri tahu seramai 15 orang bekerja di bawah anak syarikat Ketengah, dibuang secara tergesa-gesa selepas saya tamat sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

“Kalau YB Menteri tahu, saya nak sedikit penjelasan,” soal Razali.

Perkara itu dijawab Mahdzir yang memberitahu beliau tidak tahu 15 pekerja KHSB ditamatkan perkhidmatan lebih awal daripada kontrak namun beliau akan mendapatkan maklumat yang sepatutnya.

“Saya tak tahu perkara yang disebut oleh YB tadi. Saya akan dapatkan maklumat yang sepatutnya,” kata Mahdzir.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim kemudian memberitahu satu jawapan bertulis akan diberikan oleh Mahdzir kepada Razali.

“Kalau begitu, akan diberi jawapan bertulis oleh YB Menteri. Terima kasih,” katanya.

Pada 24 Julai lalu, media melaporkan seramai 15 pekerja anak syarikat Ketengah Holdings Sdn. Bhd. (KHSB) menuntut penjelasan daripada pengurusan tertinggi syarikat punca mereka ditamatkan perkhidmatan lebih awal daripada tempoh sepatutnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Niaga & Tours Sdn. Bhd, Mohd. Nuhairi Muhammad berkata, pemecatan itu dibuat tanpa alasan yang kukuh selain diberi notis mengejut sehingga menjatuhkan maruah mereka.

Katanya, tindakan berkenaan tidak wajar dilakukan oleh sebuah agensi kerajaan yang diamanahkan untuk menjaga rakyat namun sebaliknya pula berlaku apabila mereka kini hilang mata pencarian secara tiba-tiba.

Katanya, pekerja terlibat menerima notis tersebut pada 18 Julai lalu dan diarahkan untuk tidak datang bekerja pada 19 Julai lalu.

Dalam perkembangan terbaru, 15 bekas pekerja KHSB akan menggunakan saluran perundangan bagi menuntut pembelaan berhubung penamatan perkhidmatan mereka lebih awal daripada kontrak.

Tindakan itu selepas usaha damai bersama pihak pengurusan KHSB yang diatur Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) gagal menemui kata sepakat.

KHSB sebaliknya berkeras tidak akan berunding atau membayar pampasan kepada lebih 15 bekas kakitangannya itu.