KUALA LUMPUR, 16 Ogos – 12 acara sukan terpaksa digugurkan kerana penyertaan kurang daripada 6 kontinjen seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia.

Menteri Beliau dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata bagi menangani isu yang dibangkitkan itu, Kementerian menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSNg) dan juga Persatuan Sukan Negeri telah melaksanakan langkah penambahbaikan dan penelitian semula program-program pembangunan di negeri-negeri.

“Akibat penangguhan Temasya Sukma Johor 2020, MSN hanya menawarkan 21 jenis sukan bagi temasya kali ini.

“Namun begitu, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi yang dipengerusikan oleh saya sendiri telah menetapkan sebanyak 426 acara sukan sahaja yang layak dipertandingkan (223 lelaki, 184 wanita dan 19 campuran / terbuka) daripada 31 jenis sukan,” katanya di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Nicole Wong yang meminta Faizal menyatakan sebab-sebab 12 acara dalam SUKMA digugurkan terutamanya acara wanita dan langkah-langkah yang diambil untuk menggalakkan negeri menghantar atlet untuk acara-acara tersebut.

Mengulas lanjut, Faizal berkata keputusan awal di peringkat Jawatankuasa Tertinggi adalah berdasarkan penyertaan minimum untuk sesuatu acara adalah 8 penyertaan.

Katanya, namun, ia telah dikurangkan kepada 6 penyertaan hasil keputusan secara bersama kerana terdapat beberapa acara tidak menepati syarat penyertaan yang ditetapkan.

“Antara usaha-usaha yang sedang dilaksanakan bagi merancakkan penyertaan bakat-bakat baharu dalam sukan-sukan ini adalah bekerjasama dengan Persatuan Sukan Kebangsaan yang terlibat untuk menganjurkan kejohanan bertaraf kebangsaan secara berasingan.

“Memperhebatkan Program Pengenalan Sukan di kalangan pelajar sekolah melalui kem bakat,” katanya.

Faizal juga berkata selain itu pihaknya mempertingkatkan kerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia bagi pelaksanaan program pembangunan sukan terjun di Sekolah Sukan Malaysia (SSM) yang mempunyai fasiliti untuk sukan ini.

Katanya, bagi sekolah yang tidak mempunyai fasiliti pula, kerjasama dengan kelab-kelab sukan akan diwujudkan bagi menyediakan platform penyertaan dalam sukan ini.

“Menubuhkan pusat latihan kebangsaan di beberapa negeri yang terpilih bagi mengenalpasti dan melatih atlet-atlet muda berbakat di bawah Program Sukan Pilihan.

“Menyediakan kemudahan latihan yang setara dengan pusat latihan kebangsaan di beberapa buah negeri yang dikenalpasti.

“Melantik jurulatih yang berpengalaman dalam menjalani latihan yang lebih komprehensif serta mampu melonjak prestasi atlet dalam masa terdekat. Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada jurulatih luar negara,” katanya.

Faizal juga berkata peluang pendedahan pertandingan peringkat umur di luar negara sekerap mungkin bagi memberi peluang untuk menimba pengalaman dan mengukur keberkesanan program latihan yang diikuti.

Katanya, KBS melalui MSN bersama pemegang taruh di peringkat negeri sentiasa memantau dan membuat penambahbaikan bagi mengimbangi program latihan yang telah terjejas.

“Kementerian berharap langkah-langkah yang sedang dilaksanakan ini dapat mengukuhkan program pembangunan atlet di negeri khususnya acara-acara tersebut bagi persiapan ke Sukan Malaysia akan datang,” katanya.