PETALING JAYA, 16 Ogos – Perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan dua wakil Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini bukan satu perjumpaan rasmi parti.

Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, memang partinya sudah memutuskan Setiausaha Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai wakil parti namun bukan untuk pertemuan itu.

“Jika itu yang diputuskan dalam parti, itu wakil rasmi parti untuk berjumpa dengan Perdana Menteri membincangkan hal berkaitan dengan PN dan BERSATU.

“Yang perjumpaan lain itu (baru-baru ini) mungkin sebab mereka (Hamzah dan Azmin) pun menteri. Saya tak berjumpa dengan Perdana Menteri sedangkan mandat sudah diberi kepada mereka berdua,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Srikandi BERSATU Malaysia, di sini hari ini.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Ismail Sabri ‘menipu’ berhubung kenyataannya yang sudah mengadakan pertemuan bersama pimpinan PN pada dua minggu lalu.

Wan Saiful hairan kenyataan itu dibuat sedangkan pertemuan yang dimaksudkan hanyalah perjumpaan makan tengah hari.