KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Dua Senator dari BERSATU menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Senator Datuk Razali Idris berkata, penubuhan RCI itu adalah bagi meneliti segala aspek agar tidak ada pihak yang bersalah terlepas daripada pendakwaan.

“Dewan Negara rasa ada keperluan menubuhkan RCI untuk siasat skandal pembelian LCS yang melibatkan kontrak rundingan terus dengan nilai RM9.128 bilion kerana kita juga ingin tahu mengapa bayaran oleh pihak kerajaan sebanyak RM6.083 bilion dilakukan tetapi sehingga kini, tiada kapal diserahkan kepada TLDM.

“Saya bimbang sekiranya isu sebesar ini tidak dicermati siasatannya maka akan mencemarkan nama dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM.

“Justeru, RCI ini amat diperlukan sesegera mungkin,” katanya ketika membahas usul berkaitan projek LCS di Dewan Negara, pada Selasa.

Bagi Senator Muhammad Zahid Md Arip, penubuhan RCI mampu memberi ketelusan kepada siasatan projek itu sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat.

“Sekiranya dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, saya penuh yakin dan percaya baginda akan memberi perkenan.

“Kita perlu laksanakan siasatan ini secara terbaik dan mengamalkan amar makruf nahi mungkar,” katanya.

Pada 10 Ogos lalu, satu memorandum untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menubuhkan RCI skandal LCS telah disampaikan oleh Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim, di Istana Negara.