KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Kerajaan yakin ekonomi Malaysia berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan terkini antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, petunjuk utama terkini juga mencerminkan prestasi ekonomi yang semakin positif.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada suku kedua mengukuh kepada 8.9 peratus (suku pertama 2022: 5.0 peratus), sekaligus mencatat pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus bagi separuh pertama 2022.

“Dalam tempoh suku pertama 2022, negara juga telah mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh sebanyak 5 peratus.

“Kadar pengangguran juga berkurangan di bawah 4.0 peratus iaitu 3.8 peratus pada Jun 2022 berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020, seiring dengan peningkatan permintaan barangan dan perkhidmatan yang ketara di mana penggunaan swasta meningkat sebanyak 18.3 peratus pada suku kedua (suku pertama 2022: 5.5 peratus),” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Wira Othman Aziz yang ingin tahu tahap keyakinan kerajaan dalam mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus untuk tahun 2022.

Yamani juga berkata, pelaburan langsung asing (FDI) pula telah mencatat peningkatan bagi separuh pertama 2022 kepada RM41.7 bilion berbanding RM20.2 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2021.

“Sokongan dasar Kerajaan yang konsisten, terutamanya melalui inisiatif di bawah Bajet 2022 yang mengembang dengan langkah yang giat dilaksanakan sejak awal tahun dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih baik tahun ini.

“Selain itu, kesan limpahan daripada pelaksanaan langkah Bajet 2021 serta pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan sebelum ini terus mendorong pemulihan ekonomi ke arah mencapai paras KDNK pra-pandemik,” katanya.

Yamani berkata, momentum pertumbuhan separuh pertama 2022 juga disokong oleh aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak serta permintaan domestik dan dari luar negara yang terus memberangsangkan berikutan peralihan negara ke Fasa Endemik.

“Selain itu, pembukaan semula sempadan antarabangsa, pasaran buruh yang semakin baik dan pelaksanaan projek-projek bersifat pelaburan turut menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi,” katanya.