KUANTAN, 16 Ogos – Sikap pimpinan DAP dan Pakatan Harapan (PH) terhadap integriti masih boleh dipersoalkan.

Memetik Malaysiakini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Yazid Mohd Yunus berkata kenyataan dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, baru-baru ini mengambarkan seolah-olah parti itu sanggup bersekongkol dengan UMNO bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15.

“Adakah Anthony (Loke) sedang bermimpi sedangkan sebelum ini, mereka sering melaungkan perkataan integriti, ketelusan dan menolak rasuah serta kleptokrasi?

“Saya nak tanya pengundi PH dan penyokong DAP, adakah mereka setuju untuk bekerjasama dengan Umno?

“Kalau jawapan mereka ya (setuju) amat malang sekali kerana ia membawa maksud DAP dan PH menyokong dan menghalalkan apa saja dilakukan Umno dahulu dan sekarang,” katanya.

Pada 8 Ogos lalu, dalam wawancara bersama FMT, Loke berkata DAP tidak akan menolak kemungkinan bekerjasama dengan UMNO kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik.

Katanya, politik Malaysia mengalami perubahan drastik sejak PRU 2018, terutamanya dengan ketiadaan parti tunggal yang dominan.

Bagaimanapun, Loke menegaskan, sebarang kerjasama hanya akan berlaku selepas PRU ke-15.

Mengulas lanjut, Mohd Yazid yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang berkata, pimpinan DAP dan PH sering menuduh BERSATU sebagai pengkhianat.

Hakikatnya, dakwa Mohd Yazid, BERSATU merupakan parti yang konsisten menolak kluster mahkamah dan mengutamakan integriti.

Katanya, sikap DAP dan PH juga menunjukkan mereka sedia ‘berjalan berpimpin tangan’ dengan penjenayah bagi mendapatkan kuasa.

“Rakyat sudah muak dengan bahasa ‘silang kata’ digunakan pemimpin pembangkang kerana rakyat mahu melihat satu mesej dan pendirian yang jelas hala tujunya.

“Kita (PN) lebih memikirkan hal (kebajikan) rakyat, mencari jalan memajukan negara dan keluar dari tekanan ekonomi yang sedang dihadapi ketika ini.

“Jika Anthony Loke dan PH ingin mencari rakan sekutu atau electoral pact yang mengutamakan rakyat, UMNO bukanlah pilihan yang tepat,” katanya.

Tambah Mohd Yazid dengan memilih UMNO, itu menunjukkan DAP dan PH adalah “pengkhianat sebenar” kepada rakyat.