KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Usaha BERSATU mendesak agar penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), akhirnya akan dibawa ke Kabinet, pada Rabu.

Bagaimanapun, perkara itu perlu mendapat persetujuan Jemaah Menteri, sebelum Perdana Menteri mempersembahkan persetujuan itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, berkata Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) telah mengabaikan pandangan tentera laut bagi projek LCS apabila tiada satu kapal pun berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut.

Susulan itu, BERSATU menghantar memorandum ke Istana Negara baru-baru ini bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk RCI bagi menyiasat projek LCS.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal LCS walaupun isu itu didakwa mempunyai kaitan dengan pucuk pimpinan UMNO.

Wan Saiful berkata Ismail Sabri tidak perlu takut dengan sebarang tekanan serta ugutan yang bakal diambil partinya termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kemungkinan tidak akan mencalonkan beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Kepada KDYMM SPB YDA, Kolonel (B) Dato’ Nazim Mohd Alim.

Turut mengiringi, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Ketua Bahagian BERSATU Segambut.

Tindakan ini mendapat mandat daripada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Kabinet untuk mewujudkan Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dalam kenyataan pada 9 Ogos lalu, Muhyiddin mendakwa penyelewengan itu berlaku ketika Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Menteri Pertahanan.

“Pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan kita.

“Bantahan ini walau bagaimanapun tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan. Untuk rekod Menteri Pertahanan pada ketika itu ialah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada masa ini,” katanya.

Terbaru dalam perbahasan di Dewan Negara hari ini, dua Senator dari BERSATU turut menggesa kerajaan menubuhkan RCI.

Senator Datuk Razali Idris berkata, penubuhan RCI itu adalah bagi meneliti segala aspek agar tidak ada pihak yang bersalah terlepas daripada pendakwaan.

“Dewan Negara rasa ada keperluan menubuhkan RCI untuk siasat skandal pembelian LCS yang melibatkan kontrak rundingan terus dengan nilai RM9.128 bilion kerana kita juga ingin tahu mengapa bayaran oleh pihak kerajaan sebanyak RM6.083 bilion dilakukan tetapi sehingga kini, tiada kapal diserahkan kepada TLDM.

“Saya bimbang sekiranya isu sebesar ini tidak dicermati siasatannya maka akan mencemarkan nama dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM.

“Justeru, RCI ini amat diperlukan sesegera mungkin,” katanya ketika membahas usul berkaitan projek LCS di Dewan Negara, pada Selasa.

Bagi Senator Muhammad Zahid Md Arip, penubuhan RCI mampu memberi ketelusan kepada siasatan projek itu sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat.

“Sekiranya dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, saya penuh yakin dan percaya baginda akan memberi perkenan.

“Kita perlu laksanakan siasatan ini secara terbaik dan mengamalkan amar makruf nahi mungkar,” katanya.

Kemudian, ketika menggulung perbahasan usul berkaitan isu itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata cadangan tersebut akan dibawa ke Kabinet pada Rabu (esok).

Selepas menjawab soalan Senator BERSATU, Datuk Razali Idris, beliau memberikan jaminan akan membawa sendiri perkara itu untuk mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Razali: Saya nak sahkan, adakah YB Menteri setuju nak bawa RCI ke Kabinet untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ataupun tidak?

Hishammuddin: “Ini tanggungjawab saya untuk bawa ke kabinet esok dan saya akan lakukan. Kabinet juga perlu persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai penubuhan sesuatu RCI.

Ujarnya, segala aspek akan diteliti agar tidak ada pihak yang bersalah terlepas daripada dakwaan.

Bekas Pengarah Urusan BNS, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, pada Selasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berhubung projek pembinaan LCS.

Sebelum ini, PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 mendapati tiada satupun kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu, yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion, memperuntuk lima kapal harus disiap dan diserahkan setakat Ogos 2022.

Terdahulu pada persidangan Dewan Negara, Senator Lim Hui Ying membawa usul berkenaan projek pembinaan LCS dan dibahaskan oleh 10 Ahli Dewan Negara.