KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menukar reka bentuk kapal tempur pesisir (LCS) daripada SIGMA kepada GOWIND pada 2011, bertentangan dengan pendirian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perkara itu didedahkan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung projek pembinaan enam LCS yang dinyahklasifikasi dan diterbitkan di portal Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), hari ini.

Menurut laporan itu, Ahmad Zahid pada mulanya bersetuju dengan pendirian TLDM untuk memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda, selepas mendapat taklimat daripada TLDM pada 26 Mei 2011.

Namun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengubah keputusan itu kurang dua bulan kemudian dan memilih reka bentuk GOWIND dari Perancis pada 11 Julai 2011, selepas disyorkan oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Ahmad Zahid menukar pendirian itu hanya dua hari selepas mendapat surat daripada BNS pada 8 Julai 2011 yang mengesyorkan pemilihan reka bentuk GOWIND, sebelum BNS mengeluarkan surat niat kepada syarikat subkontraktor Perancis, DCNS pada 13 Julai 2011 untuk memulakan proses reka bentuk konsep dan penilian reka bentuk.

“Panglima Tentera Laut ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, mempertahankan pendirian dan konsisten memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda dalam pembinaan LCS.

“Ini jelas diperlihatkan dalam surat Panglima Tentera Laut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada 17 Ogos 2011 dan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 September 2011,” jelas laporan itu.

MINDEF mohon MoF keluarkan surat setuju terima

Susulan itu, MINDEF membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pengeluaran surat setuju terima (SST) yang menetapkan syarat reka bentuk GOWIND dan sistem pengurusan tempur (CMS) jenama SETIS serta 17 peralatan dan sub sistem.

MOF kemudian meluluskan pengeluaran SST kepada BNS pada 15 Disember 2011 dengan had bumbung kontrak RM9 bilion.

Susulan itu, MINDEF memohon MOF membuat bayaran pendahuluan RM1.8 bilion atau 20 peratus daripada had bumbung kontrak, dengan RM500 juta didahulukan pada 2011 dan baki bayaran pendahuluan itu diselesaikan pada 2012.

Bagaimanapun, MOF pada 21 Disember 2011 hanya bersetuju meluluskan bayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta kepada BNS.

Laporan JKSTUPKK mendedahkan nilai bayaran pendahuluan dalam SST dipinda dua kali, dengan bayaran pendahuluan kedua ditambah kepada RM700 juta pada 2013, dan bayaran pendahuluan ketiga berjumlah RM170 juta pada 2014 (hanya RM164.9 juta dibayar pada Januari 2014).

“Jumlah keseluruhan bayaran pendahuluan di peringkat SST berjumlah RM1,364,997,803 atau 14.95 peratus daripada nilai kontrak,” katanya.

Rundingan harga dengan BNS dibuat beberapa kali

Selain itu, laporan JKSTUPKK memaklumkan rundingan harga dengan BNS dilaksanakan beberapa kali, bermula dengan tawaran RM9.591 bilion pada November 2011, sebelum BNS mengemukakan tawaran baharu berjumlah RM10.524 bilion.

Tiga rundingan harga dilaksanakan antara Oktober hingga November 2012, dengan rundingan harga akhir dipersetujui berjumlah RM9.693 bilion.

Pada 18 Januari 2013, MINDEF memohon supaya kos dinaikkan kepada RM10.199 bilion mengambil kira beberapa perkara seperti cukai penangguhan, spesifikasi reka bentuk tahap kesembunyian kapal, peningkatan fasiliti helikopter serta aktiviti ujian penerimaan, seperti dipohon BNS.

Namun, Unit Perancang Ekonomi (UPE) mengekalkan kos projek pada RM9 bilion dan mencadangkan pembinaan LCS dikurangkan kepada lima, namun cadangan pengurangan kapal tidak dipersetujui TLDM.

“Pada 10 Julai 2013, rundingan harga keempat diadakan dan bersetuju merundingkan harga selaras had bumbung RM9 bilion.

“Oleh itu, beberapa elemen Sokongan Logistik Bersepadu (ILS) digugurkan dan MOF memuktamadkan harga kontrak pada 12 September 2013.

“Harga muktamad itu tertakluk pada siling peruntukan RM9 bilion tidak termasuk cukai penangguhan dan peralatan ILS; bayaran pendahuluan RM700 juta tanpa mengemukakan jaminan bank dengan syarat bon pelaksanaan dikemukakan sebelum pendahuluan dibayar.

“Selain itu, pertukaran peralatan Altitude Heading and Reference (AHRS) daripada jenama Raytheon kepada AHRS Ixsea Phins diluluskan dan memastikan kontrak ditandatangani dalam tempoh empat bulan dari tarikh kelulusan memuktamadkan harga,” katanya.