KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melakukan siasatan lanjut terhadap peniaga gerai nasi ayam dan nasi itik di Sungai Ara, Pulau Pinang, yang tular kerana didakwa menjual makanan dari kedai bukan Islam.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, berkata KPDNHEP akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung status halal makanan yang dijual peniaga terbabit seperti yang tular, baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau berkata, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga terbabit jika terbukti berlaku sebarang kesalahan di bawah bidang kuasa kementerian itu.

“Setakat ini, siasatan KPDNHEP Pulau Pinang mendapati peniaga terbabit tidak melakukan tiada kesalahan, antaranya dari sudut harga dan kebersihan.

“Masalah yang timbul sekarang adalah berkenaan isu status halal makanan yang dijual. KPDNHEP akan bekerjasama dengan JAKIM mengenai hal ini untuk mengetahui kesahihannya,” katanya ketika merasmikan kempen ‘Kopi Merdeka’ oleh Tealive, di sini, hari ini.

Beberapa hari lalu, tular satu video memaparkan dua lelaki dipercayai Melayu, mendapatkan bekalan nasi ayam dan itik daripada restoran bukan Islam, di Paya Terubong, Pulau Pinang untuk dijual kepada pelanggan di gerai mereka di Sungai Ara.

Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi netizen dan menimbuklan kemarahan umat Islam di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, pengguna yang memilih sajian halal, perlu lebih peka jika dan memastikan makanan itu mempunyai logo halal.

“KPDNHEP juga menjalankan promosi bersama JAKIM, menyeru semua peniaga mendapatkan sijil halal kerana ia memastikan makanan suci dan bersih,” katanya.

Terdahulu, menerusi kempen ‘Kopi Merdeka’, sebanyak 10,000 cawan kopi diberikan secara percuma, hari ini kepada pembeli di seluruh negara yang melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali.