KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Atlet yang bakal beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 di sekitar Lembah Klang dari 16 hingga 24 September ini diharap dapat memperagakan aksi terbaik masing-masing.

Ini kerana temasya itu akan terus menjadi pentas untuk mengenalpasti bakat yang boleh diketengahkan bagi mewakili negara di peringkat lebih tinggi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya berharap atlet yang bertanding dapat memanfaatkan peluang itu supaya terpilih mewakili negara ke peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA dan sebagainya.

“Apa yang paling penting temasya SUKMA akan terus memberi pendedahan kepada mereka untuk bertanding ke peringkat paling tinggi di negara kita dan saya berpandangan, ini amat penting juga bagi pihak persatuan kebangsaan dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengenalpasti bakat baharu dan bagaimana kita nak gilap bakat ini untuk didedahkan dalam kejohanan antarabangsa.

“Tentunya kita terbabit dalam pelbagai kejohanan antarabangsa (seperti) Sukan SEA, Komanwel, Asia dan Olimpik, malah ada juga yang memerlukan kelayakan namun daripada SUKMA inilah kita dapat mengenalpasti bakat dan gilap mereka ini untuk didedahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Detik 30 Hari Menjelang SUKMA XX MSN 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

SUKMA XX MSN 2022 dijadual mempertandingkan 31 jenis sukan dengan 426 acara seperti akuatik, badminton, berbasikal, bola seapk, hoki, karate dan silat membabitkan lima zon pertandingan antaranya di Kuala Lumpur, Bukit Jalil, Bangi, Shah Alam dan Pulau Langkawi yang bakal menjadi satu-satunya lokasi bagi sukan pelayaran.

Dalam pada itu, majlis turut memperkenalkan maskot SUKMA XX MSN 2022 iaitu ‘Oyen’ yang melambangkan ‘Harimau Malaya’ yang tidak luntur semangat, tabah menghadapi perjuangan.

Majlis perasmian pembukaan temasya dijadual berlangsung di DECTAR Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 17 September manakala majlis penutup berlangsung di venue sama pada 24 September.