KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Sukan Universiti atau Sukan IPT diharap dapat dipopularkan dengan lebih meluas di peringkat nasional dan serantau, seperti mana liga-liga sukan kolej yang amat berjaya di Amerika Syarikat dan banyak negara lain.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata liga-liga ini banyak menjadi tempat mencungkil bakat bagi anak muda dalam bidang sukan, dan membuktikan bahawa sukan dan pendidikan dapat bergerak seiring.

“Pada tahun ini, Malaysia telah mendapat tempat kedua keseluruhan dengan 49 emas, 83 perak dan 50 pingat gangsa (Thailand mendapat tempat pertama). Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan buat seluruh kontinjen Malaysia yang telah berjuang sehabis daya di Thailand.

“Ini juga penting kerana sukan adalah antara instrumen perpaduan yang ampuh, yang tidak pernah gagal untuk menyatukan kita sebagai #KeluargaMalaysia,” katanya.

Terdahulu, beliau berkesempatan meraikan warga IIUM MUSTANGS iaitu pasukan sukan universiti bagi International Islamic University Malaysia (IIUM) yang baru sahaja berentap di Sukan IPT 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan ASEAN University Games 2022 Ubon Ratchathani, Thailand.

Selain daripada Sukan SEA Hanoi 2022 (12-23 Mei 2022) dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 (28 Julai-8 Ogos 2022), Wan Ahmad Fayhsal berkata atlet-atlet muda juga turut berentap di Sukan Universiti ASEAN 2022 baru sahaja berlangsung dari 26 Julai sehingga 6 Ogos 2022.

“ASEAN University Sports Council – AUSC ditubuhkan pada tahun 1980 untuk memberikan peluang untuk atlet-mahasiswa untuk meneroka dan memperagakan bakat masing-masing dalam bidang sukan.

“Sejak tahun 2010, Sekretariat AUSC yang kekal telah ditetapkan di Kuala Lumpur dengan sokongan penuh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Sukan Universiti ASEAN dianjurkan setiap 2 tahun bagi tujuan ini.

“Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada adik-adik mahasiswa yang berjaya mengharumkan nama negara! Tahniah juga kepada IIUM Mustangs yang berjaya membawa pulang pingat untuk universiti kalian!” katanya.