KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Terima kasih para hakim yang bijaksana!

Itu reaksi Ketua Armada BERSATU Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal susulan keputusan panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Wan Ahmad Fayhsal berpandangan permohonan yang dikemukakan Najib disifatkan helah untuk melengahkan kes perbicaraannya.

“Maruah negara perlu dijaga! Kleptokrasi perlu dihukum!

“Keadilan buat agama, dan rakyat!” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.

Terdahulu, Tengku Maimun memutuskan bukti tersebut tidak relevan dengan kes terhadap Najib.

Pihak pembelaan juga gagal menunjukkan bahawa hakim perbicaraan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan.

Peguam Najib semalam berkata pasukan pembelaan tidak mengetahui tentang dakwaan konflik kepentingan Mohd Nazlan ketika kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Peguam berkata isu konflik kepentingan berbangkit susulan kedudukan Nazlan sebagai peguam di Maybank Investment sebelum ini, ketika Maybank didakwa terlibat dalam penubuhan SRC.

Selain Tengku Maimun, turut mendengar permohonan Najib adalah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Menerusi permohonan ini, Najib memohon agar sabitan terhadapnya – satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram – dibatalkan.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Najib.

SRC adalah subsidiari 1MDB sebelum menjadi milik penuh Minister of Finance Inc – yang juga pemilik 1MDB – pada 2012.

Selain bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.