Terkial-kial juga seorang Naib Presiden Umno, apabila dapat peluang menjadi Perdana Menteri (PM), kerana kedudukannya sebagai “poster boy” selepas ini, hanya jerangkap samar untuk parti menjanjikan gula-gula buatnya.

Nak menunaikan janji, pun dia tidak mempunyai cukup keberanian, malahan, deligasi Perikatan Nasional seramai empat orang pun tidak sanggup dia bertentang mata. Kata orang tua-tua, berani kerana benar, takut kerana salah.

Bila kita berjanji, tunaikanlah. Kerana janji kita itu disaksikan oleh malaikat dan diketahui oleh Allah SWT. Di depan Presiden dan Timbalan Presiden Umno, dia boleh sahaja berkata apa-apa pun, tetapi bila dia berjanji dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), semua orang percaya, TSMY adalah seorang insan yang “dia buat apa yang Allah kata betul. Bukan dia buat apa yang dia kata betul.”

Saya dapat agak, kenapa dia memungkiri janji, kerana kita boleh faham kedudukannya, atas belasan ihsan partinya. Dulu, masa TSMY melantiknya menjadi Timbalan Perdana Menteri, partinya sendiri menolak perlantikan itu, tetapi akhirnya bersetuju setelah “ada manis bicara” dalam satu perbincangan di peringkat MT.

Kalau kita semua masih ingat, ucapan tahniah dari pemimpin partinya untuk dia kerana dilantik menjadi TPM juga agak lewat, kerana “mahu minta kebenaran” dari ‘sang berkuasa’ yang kononnya masih mengawal parti itu.

Umno terlalu banyak penyakit. Yang terdedah isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah, memang kita ketahui, tetapi masih banyak lagi penyelewengan berlaku. Malahan, bertimbun. Mungkin SPRM pun tidak cukup pegawai untuk menyiasat semua kes-kes ini, jika satu demi satu terbongkar.

Banyak anak-anak syarikat dan GLC yang berkaitan kerajaan kerugian dan dormant. Penyakit ini tidak akan boleh diubati jikalau Umno kembali menang dalam PRU-15. Banyak duit habis di tengah jalan, di sebalik pelbagai pengumuman yang dibuat.

Saya dah banyak kali mengingatkan bahawa “kepimpinan Umno” tidak boleh ditegur. Jadi, kenapa masih mahu bersama-sama mereka? Mereka yang tidak dipecat dari Umno kerana masing-masing senyap melihat kemungkaran. Kalau bersuara, pasti kena pecat. Ingat kenapa Tan Sri Muhyiddin dipecat dari Umno?

Dia boleh sahaja memilih untuk mendiamkan diri dan melihat sahaja apa penyelewengan yang berlaku, tetapi tanggungjawab sebagai seorang muslimin yang taat perintah Allah, dia kena berkata sesuatu.

Selagi penyakit-penyakit yang banyak itu mereka tidak ubati dan tidak bertemu dengan pakar untuk mendapatkan rawatan, pastinya ia akan bertambah berat. Akhirnya, ia sudah tidak boleh lagi diubati.

Untuk menyelamatkan negara, ahli-ahli Umno ada tiga pilihan mudah:

  1. Tinggalkan Umno
  2. Kekal dalam Umno tetapi tidak mengundi BN dalam PRU
  3. Tinggalkan Umno, tidak mengundi BN dan tentang Umno/BN habis-habisan.

Andaikata, ahli-ahli Umno masih mahu mempertahankan Umno, isytihar terus secara terbuka, “kamu mempertahankan Umno demi Jho Low”.

Jangan malu berkata benar. Jika jiwa kita sudah tidak dapat dipisahkan dari Umno, berterus teranglah bahawa kita sebenarnya amat bersimpati dengan Jho Low yang tidak dapat balik ke Malaysia kerana BN kalah. Andaikata BN menang PRU-15, Jho Low akan kembali semula dan mungkin dia akan menubuhkan 2MDB, setelah berjaya membuat dirinya kaya dengan 1MDB. Seterusnya, mungkin ada 3MDB dan 4MDB.

Disebabkan terlalu banyak penyakit, Umno percaya jika mereka menang PRU-15, banyak penyelewengan yang berlaku di zaman mereka memerintah dahulu dapat “dipadamkan” dan mereka boleh merancang untuk membeli kapal perang baharu, selain membeli kapal selam baharu.

Penulis adalah Daud Ibrahim, Ketua Penerangan BERSATU Selayang. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.