KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata persiapan bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 setakat ini berjalan lancar.

Beliau berkata walaupun bergelut dengan masa selain masih terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan, terutama melibatkan proses menaiktaraf dan membaik pulih infrastruktur di beberapa venue, namun dalam tempoh berbaki 30 hari lagi segalanya akan dapat diselesaikan mengikut jadual.

“Setakat ini saya difahamkan beberapa venue terlibat dengan proses membaikpulih termasuk gelanggang tenis dan skuasy di Kompleks Sukan Jalan Duta, Kuala Lumpur.

“Selain itu, kerja menaiktaraf turut melibatkan peralatan elektrik di Kuala Lumpur Sports City (KLSC) termasuk kerja pembaikan siling dan pintu Pusat Skuasy KLSC,” katanya ketika berucap dalam Majlis Detik 30 Hari Menjelang SUKMA XX MSN 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Rabu.

Dalam pada itu, Faizal berkata kesemua kerja-kerja membaik pulih itu penting bukan sahaja untuk keselesaan dan keselamatan para atlet tetapi ia juga demi memastikan para penonton serta penyokong yang hadir mendapat pengalaman luar biasa pada penganjuran SUKMA kali ini.

Beliau berkata penganjuran SUKMA edisi ke-20 cukup bermakna memandangkan lebih 36 tahun temasya ini dipertandingkan.

“Sejak dianjurkan kali pertama pada tahun 1986 yang mana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah, SUKMA telah mengetengahkan ramai atlet berbakat di pentas dunia.

“Justeru, ini membuktikan betapa peri pentingnya pengajuran SUKMA kerana ia juga boleh dikatakan sebagai ‘lubuk melahirkan’ atlet untuk negara,” katanya.

Tambahnya, melalui SUKMA, bakat para atlet dikesan dan kemudian digilap serta dipersembahkan di kejohanan sukan bertaraf dunia.

“Nama-nama seperti Gerard Liew (renang), Shalin Zulkifli (boling), Petra Nabila Mustafa (olahraga) dan banyak lagi, semuanya mulai menyinar ketika bersaing dalam kejohanan yang diadakan secara dwi-tahunan ini.

“Justeru, harapan saya SUKMA kali ini akan melahirkan lebih ramai lagi jaguh tempatan dengan kualiti bertaraf dunia. Malaysia amat memerlukan pelapis baharu demi kecemerlangan sukan kita,” katanya.