ROMPIN, 19 Ogos – Perikatan Nasional (PN) Pahang menyelar kenyataan Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mengganggap laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung skandal projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dipolitikkan oleh pihak tertentu.

Ketua Penerangan PN Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata ini kerana dapatan laporan skandal projek itu dibuat 14 wakil rakyat termasuk tiga daripada UMNO-BN.

Tiga wakil rakyat UMNO-BN itu adalah Datuk Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Salim Sharif (Jempol) dan Datuk Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Rompin berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai tiga wakil rakyat BERSATU, masing-masing dua dari PAS dan DAP serta satu dari PKR, Amanah dan Warisan.

“Semalam, saya baca Pengarah Komunikasi BN dia mengatakan bahawa PAC ini dah dipolitikkan.

“Politik apa PAC ni. Jawatankuasa PAC ini tiga orang daripada UMNO-BN, tiga BERSATU, dua PAS, yang lain-lain daripada DAP, PKR, Amanah.

“Mana nak dipolitiknya dengan buku laporan setebal 247 muka surat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Himpunan Perikatan Nasional Parlimen Rompin 2022 di Bandar Tun Razak, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi PN Negeri Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Nazri Ahmad.

Baru-baru ini, Pengarah Komunikasi BN Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kredibiliti PAC selaku sebuah badan profesional perlu dipelihara supaya ia tidak dipergunakan sebagai alat politik mana-mana pihak.

Jelasnya, beliau khuatir kewibawaan PAC akan hilang sekiranya ia dipolitikkan.

Mengulas lanjut, Abdul Khalib yakin rakyat mula menilai pentadbiran PN yang mengurus tadbir negara dengan telus, integriti dan anti rasuah berbanding kerajaan UMNO-BN yang terkenal dengan ‘songlap’ peruntukan demi kekayaan individu tertentu.

Oleh itu, katanya, rakyat terutamanya jentara parti harus bersiap sedia sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) diumumkan pada bila-bila masa.

“Jadi, ini adalah ruang untuk kita. Saya yakin rakyat sudah mula menilai kita.

“Tak kisah bila pilihan raya, tapi kita siap siaga dalam keadaan terbaik. Kita memerlukan jentera yang kuat semasa pilihan raya. Walaupun UMNO ada jentera besar, lebih kurang tiga juta ahli, tapi dalam PRU14 kalah. Siapa yang tumbangkan BN? Rakyat.

“Insyallah, sekiranya rakyat memberi mandat kepada PN untuk memerintah, kita akan menjadi kerajaan rakyat. Bukan kerajaan kepada orang tertentu sahaja,” katanya.