ROMPIN, 19 Ogos – Parlimen Rompin bersama tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal melakar sejarah menjadi milik Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Keyakinan itu disuarakan Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Ustaz Nazri Ahmad yang mahu jentera dalam gabungan parti (PAS-BERSATU) mesti bekerjasama dan bergerak dalam satu pasukan.

“Dua tiga hari lepas, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan kata BN nekad untuk tawan Kelantan.

“Hari ini, PAS berazam dan berikrar untuk tawan Parlimen Rompin. Walaupun kita tahu nak mencapai kemenangan bukan senang, tetapi yakin dan percayalah kerjasama yang erat dan persefahaman yang amat penting perlu ada.

“Jentera yang ada pada dua-dua parti mesti bersama. Kita tak nak berlaku di mana ketika PRN Melaka dan PRN Johor, bila dah bubar Parlimen, baru nak bergerak. Sedangkan waktu itu adalah waktu kita bekerja. Jadi, kerjasama itu perlu dilakukan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Himpunan Perikatan Nasional Parlimen Rompin 2022 di Bandar Tun Razak, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi PN Negeri Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ketua Penerangan PN Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah.

Untuk rekod, penyandang Parlimen Rompin adalah Datuk Seri Hasan Arifin (UMNO-BN) manakala tiga DUN terdiri daripada Datuk Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam), Razali Kassim (BN-Muadzam Shah) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-Tioman).

Dalam pada itu, Nazri berkata kes skandal penyelewengan negara saban hari dilaporkan dan disiarkan dalam media, termasuk yang terbaru skandal projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau, yang juga AJK Perhubungan PAS Negeri Pahang, berkata punca terjadinya penyelewengan mudah berlaku apabila seseorang pemimpin tidak ada integriti apabila diberi amanah untuk memegang kuasa.

Nazri juga memuji langkah yang dibuat bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sanggup melepaskan jawatannya ketika berada di dalam UMNO, apabila melihat penyelewengan berlaku melibatkan isu 1MDB.

“Kes mahkamah dihidangkan saban hari. Tak habis dengan isu skandal 1MDB, kes SRC, datang pula skandal LCS. Dan selepas ini tak tahu apa lagi isu skandal.

“Apa puncanya? Puncanya apabila mereka yang diberi amanah memegang kuasa, tidak ada amanah dan integriti.

“Maka atas dasar itulah, kalau kita lihat Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar daripada Umno. Antara lain beliau sebut kerana sangat tidak setuju dengan penyelewengan 1MDB. Walaupun dia sudah jadi orang nombor dua iaitu Timbalan Perdana Menteri, tetapi dia lihat ini adalah masalah yang tidak patut berlaku.

“Atas dasar itulah, alhamdulillah kita dapat bersama-sama atas tujuan dan matlamat yang sama untuk menyelamatkan negara dan negeri kita, Insyallah,” katanya.