SHAH ALAM, 19 Ogos – Kesedaran mengenai potensi perniagaan francais perlu diperhebatkan tanpa mengira sama ada individu berkenaan baru berjinak dalam perniagaan atau sudah memiliki rangkaian produk sendiri.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata perniagaan francais diyakini menjadi model perniagaan lebih pantas berkembang dan terjamin berbanding konsep konvensional.

“Perniagaan francais lazimnya sudah bertapak dengan jenama kukuh serta mempunyai sistem perniagaan yang sudah teruji dengan baik. Bakal francaisi juga tidak perlu mengeluarkan modal besar untuk mempromosikan perniagaan.

“Justeru, kesedaran kepada masyarakat mengenai francais perlu lebih diperluaskan di seluruh negara kerana ia berpotensi tinggi mengembangkan perniagaan sedia ada,” katanya berucap merasmikan Program Jelajah ‘Franchise Bay’ (PJFB) 2022 peringkat Selangor, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP), Datuk Roziah Abudin serta Naib Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohamad Shukri Salleh.

PJFB siri keempat yang disertai 20 syarikat francais tempatan itu merangkumi pameran yang bertujuan memberi pendedahan mengenai sistem perniagaan, pakej latihan dan pembiayaan disediakan kerajaan.

Rosol berkata, usaha KPDNHEP membangunkan industri francais dapat dilihat daripada statistik Laporan Tahunan Perniagaan Francais (LTPF) yang pada 2020, menunjukkan nilai jualan syarikat francais meningkat 9.7 peratus kepada RM14.6 bilion berbanding RM13.3 bilion tahun sebelumnya.

“Kementerian turut optimis perniagaan francais akan mengunjurkan peningkatan nilai jualan sehingga RM15 bilion tahun ini,” katanya memaklumkan, sebanyak 1,137 syarikat francais sudah didaftarkan setakat ini dengan 36 peratus adalah segmen makanan dan minuman.

Jelasnya, sebanyak 68 syarikat francais tempatan sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan kini berada di 70 negara.

Dalam pada itu, Rosol berkata, Laporan ‘Franchise Bay’ 2022 mendapati sebanyak 304 potensi francaisi di Sarawak, Johor dan Pahang menyatakan hasrat menjadi francaisi dengan nilai pelaburan dijangka RM93 juta.

“Di Selangor, sekurang-kurangnya 30 potensi francaisi baharu disasarkan dengan nilai potensi pelaburan berjumlah RM7.5 juta,” katanya.