KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – BERSATU sedia bertolak ansur melepaskan kerusi yang kini dikuasainya bagi memberi laluan kepada calon parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perkara itu dimaklumkan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris, dengan syarat kajian soal selidik membuktikan wakil BERSATU sukar untuk menang di kerusi terbabit, manakala calon yang dikemukakan pula mampu mempertahankan dan memenanginya.

Beliau mengakui, BERSATU sememangnya mahukan semua 31 kerusi Parlimen yang dikuasai ketika ini dipertahankan parti dalam PRU-15, namun keputusan penuh mengenai pengagihan kerusi akan ditentukan pada mesyuarat jawatankuasa tertinggi Perikatan Nasional (PN) nanti.

Katanya, semua parti yang bertanding inginkan kemenangan, tetapi kajian secara menyeluruh termasuk soal selidik di peringkat akar umbi perlu dilakukan untuk memastikan kerusi yang boleh dimenangi calon parti.

“Jika kajian dan soal selidik mendapati kerusi (disandang) BERSATU gagal untuk menang (jika diwakili calon BERSATU), kita bersetuju serahkan kepada parti lain asalkan daripada parti gabungan PN yang mampu mempertahankan dan memenangi kerusi terbabit.

“Pimpinan parti dalam gabungan PN bukannya bersikap tamak, sebaliknya hanya memilih parti yang diyakini menang untuk bertanding,” katanya.

PN kini mempunyai 49 kerusi di Parlimen dengan 31 daripadanya milik BERSATU, 17 milik PAS (17) dan satu kerusi daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Selain gabungan BERSATU, PAS dan STAR, parti GERAKAN turut bergabung dengan PN, selain parti sayap bersekutu.

Dalam pada itu, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, berkata Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, diberi tanggungjawab oleh pucuk pimpinan tertinggi parti dan kini sedang melakukan kajian serta mengenal pasti kerusi Parlimen yang perlu dipertahankan dan mampu dimenangi calon BERSATU pada PRU akan datang.

Katanya, kajian dilakukan parti akan diserahkan kepada Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa pilihan raya di peringkat PN.

Selain itu, beliau berkata, calon ditampilkan PN bagi menghadapi PRU akan datang juga akan melalui proses tapisan dan hanya yang berintegriti serta bebas daripada gejala rasuah akan diberi mandat mewakili parti untuk bertanding.

“Pengagihan kerusi akan dibuat sebaik jawatankuasa pilihan raya selesai melakukan kajian, tetapi senarai calon dan jumlah kerusi bagi setiap parti gabungan PN akan diumumkan selepas pembubaran Parlimen,” katanya.