JOHOR BAHRU, 20 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat berada dalam situasi yang sangat ‘desperate’ sejak beliau memenangi jawatan itu pada Jun 2018.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata ini kerana beliau sanggup menekan kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar disegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan beralasan parti itu akan tewas jika pilihan raya umum dilengahkan.

“Mendakwa seteru UMNO ‘menyerang’ parti tersebut menggunakan pelbagai persepsi atau isu kononnya untuk menggugat keyakinan akar umbi. Walhal sebenarnya, UMNO kini tidak tertanggung dengan persepsi atau isu yang telah ditimbulkan oleh kumpulan kluster dalam parti terbabit.

“Sekiranya dilengahkan PRU, mungkin lebih banyak pembongkaran yang berlaku dan UMNO tidak akan mampu untuk menanggung segala permasalahan yang timbul. Sebab itu kumpulan kluster dalam UMNO begitu terdesak untuk menyelamatkan diri masing-masing mutakhir ini.

“Maka sifir mudah adalah menyegerakan PRU dengan mendesak Perdana Menteri mendengar tuntutan yang dibuat. Kumpulan ini mungkin enggan menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan sedia ada, sebaliknya akan terus mengasak dan mendesak supaya PRU disegerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam kenyataan di Facebook mendesak supaya PRU15 diadakan segera sambil menyifatkan sekarang adalah waktu terbaik untuk ia diadakan.

Ahmad Zahid berkata tindakan melengahkan PRU bermakna parti itu memberi senjata kepada musuh untuk terus menyerang.

Disebabkan itu katanya, tidak ada satu pun daripada pemimpin pembangkang yang meminta supaya Parlimen dibubarkan walaupun sering memperlekeh yang kerajaan ketika ini bukan mandat rakyat dan kerajaan pintu belakang.

Bagaimanapun, kata Sahruddin, apa jua tindakan Presiden UMNO dan kumpulan kluster pada masa kini tidak akan dapat mengubah pandangan rakyat secara umumnya terhadap parti tersebut yang dilihat semakin rosak.

Ujarnya, desakan terhadap Kerajaan agar menyegerakan PRU jelas mencerminkan UMNO hanya sibuk untuk merebut kuasa sekali gus tidak cakna dengan keadaan rakyat yang terhimpit dengan cabaran semasa.

“Rakyat perlukan pembelaan daripada Kerajaan untuk kembali pulih selepas terjejas dari sudut sosio dan ekonomi.

“Sedarlah bahawa rakyat semakin celik politik. Usahlah manipulasi situasi dengan menyalahkan pihak lain kerana kebimbangan UMNO itu sendiri yang kian rebah akibat kelakuan tidak bermoral kumpulan kluster,” katanya.