KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Tindakan menyerang hal peribadi lima anggota hakim Mahkamah Persekutuan yang terlibat dengan prosiding rayuan terakhir Datuk Seri Najib Razak berhubung kes penyelewangan dana SRC International Sdn Bhd perlu dihentikan serta-merta.

Timbalan Presiden BERSATU Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ia bukan sahaja tidak beretika dan menganggu sistem badan kehakiman tetapi, lebih malang serangan secara terbuka di media sosial itu juga mengundang persepsi negatif selain memalukan nama baik negara.

“Serangan peribadi terhadap para hakim dan ahli keluarga mereka turut dibimbangi mewujudkan keadaan tidak tenteram termasuk mengancam kedaulatan undang-undang.

“Saya yakin, serangan ini sengaja dilakukan bagi mengganggu kebebasan badan kehakiman negara.

Secara peribadi, saya berpandangan badan kehakiman perlu berfungsi sebagai benteng terakhir dalam menegakkan keadilan. Maka, adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan maruah institusi kehakiman dipelihara dengan rapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata walaupun demokrasi tidak menghalang hak rakyat daripada bersuara dan memberi kritikan namun, ia tidak bererti mana-mana individu boleh
melakukan serangan secara peribadi apatah lagi disulami dengan niat jahat untuk kepentingan pihak tertentu.

Justeru, katanya, badan kehakiman seharusnya diberi ruang dan masa bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat dilaksanakan demi kedaulatan undang-undang yang dijunjung.

“Setiap daripada rakyat negara ini juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan integriti institusi badan kehakiman senantiasa dipertahankan,” katanya.