PUCHONG, 20 Ogos – Persatuan Permuafakatan Pangsapuri Melor bersama anggota Bomba Komuniti Puchong membuat dan mengecap Jalur Gemilang gergasi sepanjang 15 meter menggunakan telapak tangan bagi memperingati Hari Kemerdekaan yang ke-65.

Pengerusi Persatuan Permuafakatan Pangsapuri Melor yang juga merangkap Ketua Cawangan BERSATU Puchong Permai, Rozlan Nahar berkata semangat Hari kemerdekaan perlu dizahirkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kecintaan kepada tanah air.

“Jalur gemilang merupakan lambang maruah kedaulatan negara yang seharusnya perlu dikibarkan di setiap kawasan rumah, premis, sekolah dan juga dipasang pada kenderaan.

“Objektif program kali ini adalah untuk menyemarakkan lagi semangat menyambut Hari Kemerdekaan dan cintakan negara disamping mengeratkan lagi hubungan ukhuwah antara penduduk.

“Setelah Jalur Gemilang gergasi ini berjaya disiapkan ianya akan mula dikibarkan pada malam ambang merdeka nanti di sekitar kawasan Pangsapuri Melor,” katanya.

Katanya, program itu dirasmikan Penaung Persatuan Permuafakatan Pangsapuri Melor yang juga Ketua Bahagian BERSATU Puchong, Mohd Shukor Mustaffa di perkarangan gelanggang badminton Pangsapuri Melor.