KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Malaysia mengekalkan trajektori peningkatan dengan berkembang 39.8 peratus kepada RM252.65 bilion pada Julai 2022 berbanding RM180.69 bilion pada bulan yang sama tahun lepas, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Prestasi itu adalah pertumbuhan dua digit yang ke-18 bulan berturut-turut, katanya.

Beliau berkata, eksport meningkat 38.0 peratus kepada RM134.07 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-12 bulan berturut-turut manakala import berkembang sebanyak 41.9 peratus kepada RM118.58 bilion dan lebihan dagangan berkembang 14.3 peratus kepada RM15.49 bilion.

“Pertumbuhan eksport telah dipacu oleh peningkatan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum serta gas asli cecair (LNG).

“Eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit. Eksport ke ASEAN mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perangkaan perdagangan luar Malaysia, pada Jumaat.

Beliau berkata berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing susut 6.5 peratus, 8.2 peratus, 4.5 peratus dan 29.1 peratus.

Pada Januari hingga Julai 2022, perdagangan naik 29.9 peratus kepada RM1.608 trilion daripada angka pada tempoh yang sama 2021 manakala eksport meningkat 27.8 peratus kepada RM873.07 bilion dan import berkembang 32.5 peratus kepada RM734.51 bilion, katanya.

“Lebihan dagangan bertambah sebanyak 7.4 peratus kepada RM138.56 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata mengenai prestasi eksport sektor utama, barangan perkilangan pada Julai 2022 yang mewakili 83.7 peratus daripada jumlah eksport naik 35.4 peratus tahun ke tahun kepada RM112.26 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-12 bulan berturut-turut.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, barangan optik dan saintifik serta kimia dan bahan kimia, di mana setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata, eksport hasil galian (8.1 peratus syer) melonjak 100.4 peratus tahun ke tahun kepada RM10.81 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-16 bulan berturut-turut, disumbangkan oleh pertambahan eksport LNG dan petroleum mentah.

Eksport keluaran pertanian (7.8 peratus syer) meningkat 24.1 peratus kepada RM10.52 bilion berbanding Julai 2021, pertumbuhan dua digit yang ke-17 bulan berturut-turut, disokong oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, katanya.

Bagi prestasi import, Mohamed Azmin berkata barangan pengantara, bernilai RM61.83 bilion atau 52.1 peratus daripada jumlah import, meningkat 32.2 peratus susulan kenaikan import bekalan perindustrian diproses.

Barangan modal, bernilai RM10.97 bilion atau 9.3 peratus daripada jumlah import, berkembang sebanyak 29.6 peratus, disebabkan oleh kenaikan import kelengkapan pengangkutan perindustrian sementara itu, barangan penggunaan, bernilai RM8.52 bilion atau 7.2 peratus daripada jumlah import, naik 33.2 peratus, hasil kenaikan import makanan dan minuman diproses khusus untuk penggunaan isi rumah, katanya.

Mengenai prestasi perdagangan Malaysia dengan pasaran utama, beliau berkata pada Julai 2022, perdagangan dengan ASEAN melonjak 63.0 peratus tahun ke tahun kepada RM73.31 bilion, merangkumi 29.0 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Eksport naik 55.6 peratus kepada RM42.53 bilion, nilai bulanan yang tertinggi direkodkan setakat ini. Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum dan jentera, kelengkapan dan peralatan serta pada masa sama, import dari ASEAN melonjak 74.4 peratus kepada RM30.78 bilion,” katanya.

Beliau berkata pada Julai 2022, perdagangan dengan China yang merangkumi 16.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia berkembang 19.3 peraatus tahun ke tahun kepada RM40.58 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-20 bulan berturut-turut.

“Eksport ke China mencatatkan kenaikan sebanyak 9.8 peratus kepada RM15.88 bilion didorong eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Import dari China meningkat 26.4 peratus kepada RM24.70 bilion,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, perdagangan dengan AS pada Julai 2022 yang menyumbang 9.0 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia berkembang 29.7 peratus tahun ke tahun kepada RM22.82 bilion.

Eksport meningkat 20.5 peratus kepada RM13.30 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E manakala import dari AS meningkat 45.3 peratus kepada RM9.52 bilion, katanya.

Beliau berkata, perdagangan dengan EU pula bertambah sebanyak 14.0 peratus tahun ke tahun kepada RM17.04 bilion, mewakili 6.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Eksport meningkat 21.2 peratus kepada RM9.57 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-10 bulan berturut-turut disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum serta barangan perkilangan logam. Import dari EU naik 6.0 peratus kepada RM7.47 bilion,” katanya.

Beliau berkata, perdagangan dengan Jepun pada Julai 2022, yang merangkumi 5.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia berkembang 29.6 peratus tahun ke tahun kepada RM15.00 bilion.

“Eksport bertambah sebanyak 30.8 peratus kepada RM7.71 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-17 bulan berturut-turut, didorong peningkatan eksport bagi pelbagai barangan seperti LNG, barangan E&E, minyak sawit dan keluaran berasaskan minyak sawit serta barangan kayu.

“Import dari Jepun naik 28.4 peratus kepada RM7.29 bilion,” katanya.