IPOH, 20 Ogos – Program Rukun Negara @Belia dapat menyuntik dan memperkasakan semangat patriotik dalam kalangan anak muda, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata berpaksikan kepada Perlembagaan Negara dan Rukun Negara, program itu berperanan untuk menjana serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Menerusi RNB, terdapat sepuluh lagi program yang dirangka di bawahnya termasuk RNB Keluarga Malaysia, RNB IPGM, RNB T-VET, RNB Remaja, RNB Eksekutif, RNB Inspirasi 18, RNB Semarak Merdeka, RNB Online, RNB Undi 18 Cafe, RNB NGO dan RNB Program Inisiatif Anak Muda Proaktif (iAMPro).

“Kesemua program di bawah RNB ini mempunyai fungsi, fokus dan tugas tersendiri. Contohnya, RNB IPGM direka khusus untuk para belia yang berada di Institut Pendidikan Guru Malaysia,” katanya dalam Majlis Pelancaran RNB AEON Mall Klebang, Ipoh.

Mengulas lanjut, Faizal berkata program RNB T-VET bagi belia yang berada di institusi pengajian berasaskan kemahiran.

Katanya, manakala RNB Inspirasi 18 pula adalah bagi memberi penerangan serta pencerahan kepada anak muda berhubung penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun.

“Terdapat tujuh lagi program yang tidak sempat saya huraikan di sini tetapi, saudara dan saudari boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada para pegawai i-LEAD yang senantiasa sedia membantu.

“Terdapat lebih 104 program RNB telah dilaksanakan tahun lalu dengan penyertaan lebih 60 ribu 522 orang,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal berkata sehingga 10 Ogos lalu, sebanyak 562 program telah dilaksanakan dan melibatkan penyertaan seramai 92 ribu 760 orang.

Katanya, program RNB di Ipoh ini pula, beliau difahamkan pihak penganjur telahpun merangka beberapa aktiviti yang boleh disertai para belia sepanjang dua hari berlangsung.

“Antaranya program Townhall RNB, Sesi Interaktif RNB, Live Buskers, Paluan Gendang, Persembahan Seni Pertahanan Diri Tradisional dan Semarak Budaya Merdeka.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) di atas penganjuran program sebegini bagi meningkatkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan belia,” katanya.

Faizal menzahirkan rasa teruja dan gembira di atas penyertaan daripada persatuan-persatuan yang hadir, sebagai tanda sokongan sekaligus menyemarakkan lagi program yang dianjurkan pada hari in.

“Marilah kita memeriahkan program ini dengan terlibat nsama dengan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan.

“Program ini bukan sahaja dapat mengisi masa yang terluang tetapi lebih penting memberi nilai tambah kepada para belia sekalian,” katanya.

Beliau berharap program RNB ini akan menjadi faktor serta jambatan kepada golongan belia untuk memberikan sumbangan kepada negara khasnya dalam melahirkan pemimpin berkualiti, bermaruah dan berintegriti.

“Besarlah harapan saya program seperti ini dapat dikekalkan dan diteruskan di masa-masa hadapan demi hasrat melahirkan belia yang berdaya saing dan berketerampilan demi negara Malaysia tercinta,” katanya.