IPOH, 20 Ogos – Penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengalu-alukan hasrat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU Malaysia berkata, kerusi Parlimen Tambun terbuka untuk sesiapa sahaja termasuk dirinya yang kemungkinan besar akan mempertahankan kerusi berkenaan.

“Saya bimbang kalau Anwar Ibrahim bertanding, mungkin peluang untuk Dr Aziz Bari (Ketua Pembangkang Perak) bertanding di situ agak sukar.

“Tetapi, bagi saya, sebagai pendokong demokrasi, beliau (Anwar Ibrahim) layak bertanding di mana sahaja beliau pilih. Saya alu-alukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rukun Negara@Belia (RNB) di Aeon Mall Klebang di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, beliau juga bersedia untuk berhadapan dengan mana-mana calon bagi merebut kerusi Parlimen berkenaan.

“Saya berharap pengundi di Tambun akan kekal mengundi saya untuk terus membantu mereka. Insya-Allah (saya akan bertanding), saya tidak akan lari,” katanya.

Sementara itu, mengulas sama ada Anwar benar-benar mahu bertanding di Tambun atau hanya sekadar gimik, beliau menegaskan isu itu bukanlah satu perkara penting.

“Pada saya, apa yang lebih penting sekarang adalah kerjasama rapat bagi menyelesaikan permasalahan rakyat. Tentang siapa pun calon, akan ada hari untuk kita bincang.

“Sekarang ini, kita bincang tentang rakyat sudah kaya ke, cukup makan ke. Itu yang perlu difikirkan termasuk di Port Dickson dan Tambun.

“Saya pun tidak mahu cakap saya buat kerja yang baik di Tambun, banyak lagi usaha yang perlu dijalankan. Jadi, jangan bincanglah pemimpin macam Anwar dan Peja ini, kami datang dan pergi. Rakyat yang perlu diutamakan,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan Anwar dalam sidang media di Ipoh memberitahu sedia menimbangkan tawaran yang dibuat oleh PKR Perak untuk beliau bertanding di negeri ini pada PRU15.

Menurut Anwar, beliau juga sedia menimbangkan untuk bertanding di Parlimen Tambun seperti yang ditawarkan.