PUTRAJAYA, 21 Ogos – Pelbagai inisiatif diambil kerajaan Keluarga Malaysia memberi impak memberangsangkan sehingga menyaksikan momentum pertumbuhan ekonomi negara dijangka berterusan bagi separuh kedua yang disokong oleh jangkaan permintaan domestik kukuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pemulihan ekonomi negara yang sedang berlaku dapat dilihat selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus pada separuh pertama tahun ini.

“Kementerian dan agensi ekonomi yang utama bertungkus-lumus bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk merangka dasar serta strategi ekonomi dan kewangan bagi menangani cabaran ekonomi.

“Pemulihan yang sedang berlaku ini disokong oleh dasar yang dilaksanakan kerajaan seperti mewujudkan peluang pekerjaan bawah Majlis Pekerjaan Negara dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pencapaian dan usaha dilaksanakan kerajaan dalam merancakkan ekonomi negara pada Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Mustapa berkata, dalam mewujudkan peluang pekerjaan, sebanyak 69,517 pekerjaan baharu dicipta dan sebanyak 211,711 penempatan pekerjaan direkodkan setakat 30 Jun lalu.

Katanya, pencapaian itu berdasarkan pelbagai program dilaksanakan seperti Insentif Penggajian Jamin Kerja dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.

“Dalam membasmi kemiskinan tegar, mekanisme baharu yang lebih holistik diwujudkan melalui inisiatif Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) dalam RMK-12.

“Ini bagi memastikan sasaran miskin tegar sifar dapat dicapai pada tahun 2025. Menerusi RMK-12, peruntukan untuk pembasmian kemiskinan membabitkan sejumlah RM36 bilion dengan jumlah siling peruntukan untuk tahun ini ialah sebanyak RM6.1 bilion,” katanya.

Mengenai inflasi, beliau berkata, Malaysia masih berada pada tahap yang rendah iaitu pada kadar 3.4 peratus berbanding negara lain.

“Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan penubuhan Pasukan Jihad Tangani Inflasi pada 29 Jun 2022 bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

“Antara langkah yang dilaksanakan ialah pelaksanaan harga kawalan, peningkatan peruntukan subsidi, pengukuhan pemantauan dan penguatkuasaan serta penyelarasan komunikasi.

“Hasilnya, kenaikan harga barangan kini lebih terkawal, adanya jaminan rantaian bekalan makanan dan barang yang lebih meyakinkan serta penurunan harga bagi beberapa barangan makanan utama,” katanya.