KUALA TERENGGANU, 21 Ogos – Srikandi BERSATU Terengganu memohon dan menaruh kepercayaan tinggi kepada pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk memperuntukkan tidak kurang 30 peratus calon wanita di kedua-dua peringkat Parlimen dan DUN untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Srikandi BERSATU Terengganu Roslilawati Mukhtar berkata ini cukup penting kerana suara wanita merupakan suara penentu kemenangan.

“Kami yakin peruntukkan ini akan menjamin 30 peratus penyertaan wanita dalam pembuat dasar serta kuasa eksekutif dalam organisasi dapat dicapai segera bagi memastikan wanita dapat berperanan dengan lebih besar dalam agenda kesejahteraan rakyat, kepimpinan dan kemajuan negara.

“Kami sentiasa berdiri teguh dan menyokong penuh usaha-usaha YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ketua Srikandi BERSATU Malaysia yang konsisten dalam memperkasakan wanita Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata Srikandi BERSATU Terengganu sedang giat memperkasakan jentera Srikandi di peringkat Cawangan dan Bahagian bagi memastikan kemenangan calon PN.

Baru-baru ini, Ketua Srikandi BERSATU Malaysia Datuk Seri Rina Mohd Harun yakin pucuk pimpinan akan menurunkan lebih ramai calon wanita mewakili parti itu.

“Jika dilihat kepada indeks jurang gender di negara ini, pembabitan wanita dalam bidang politik masih kurang, maka kita akan melakukan persiapan tambahan senarai nama dari semasa ke masa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Srikandi BERSATU di Petaling Jaya, Rabu lalu.

Beliau berkata, mesyuarat memutuskan Srikandi keputusan akan bersama Wanita Perikatan Nasional (PN) di bawah satu payung bagi memperjuangkan isu wanita dan ekonomi, kanak-kanak serta warga emas.

Katanya, ketetapan itu sebagai memahami keadaan politik ketika ini, khususnya dalam berdepan cabaran PRU-15.