KUCHING, 21 Ogos – Jawatankuasa Panel Penasihat Pengiktirafan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang meneliti untuk mempertimbangkan 19 permohonan daripada bekas tentera yang diberhentikan bagi membolehkan perkhidmatan mereka diiktiraf.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata keputusan permohonan itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, semua permohonan itu diterima daripada bekas tentera yang diberhentikan daripada perkhidmatan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lalu.

“Jawatankuasa ini ditubuhkan khusus bagi meneliti permohonan bekas tentera yang diberhentikan kerana salah laku yang tidak diiktiraf untuk didaftarkan sebagai veteran ATM.

“Jawatankuasa itu bersidang setiap empat bulan sekali dengan mesyuarat pertama diadakan 28 Julai lalu dan keputusan mengenai permohonan itu dijangka diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 713 Veteran ATM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dan Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa.

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham berkata, apabila permohonan bekas tentera untuk didaftarkan sebagai veteran ATM diluluskan, mereka layak menikmati pelbagai faedah serta manfaat seperti veteran ATM yang lain.

Sementara itu, beliau berkata, satu lagi langkah penambahbaikan bagi menjamin kebajikan veteran ATM iaitu pembayaran pencen terbitan kepada balu atau duda yang dikahwini veteran ATM selepas tamat perkhidmatan sudah diluluskan, baru-baru ini.

“Susulan itu, pencen terbitan kepada balu atau duda yang dikahwini veteran ATM selepas tamat perkhidmatan kini dilanjutkan sehingga umur veteran terbabit mencapai 80 tahun,” katanya.

Ikmal Hisham turut menggesa lebih banyak syarikat korporat membuka peluang pekerjaan kepada veteran ATM kerana ramai yang bersara pada usia produktif.

“Kita menghargai langkah kerajaan Sarawak yang mengambil ramai veteran ATM untuk mengisi jawatan dalam Sarawak Coast Guard dan Immune Belt Enforcement Team (IBET).

“Justeru, kita berharap lebih banyak syarikat korporat mengambil langkah sama,” katanya.