KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Seramai 30 Wanita Perikatan Nasional (PN) Negeri Selangor mengadakan retreat selama dua hari baru-baru ini, bagi merancang gerak kerja gempur Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa.

Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata retreat ini yang merupakan kesinambungan daripada Program Pemantapan Ukhuwah Muslimat PAS dan Srikandi juga berperanan penting bagi memperkukuh ukhwah dan siratulrahim antara komponen-komponen Wanita PN sekaligus memperkasa kesiapsiagaan jentera wanita di lapangan.

“Alhamdulilah, Retreat Wanita Perikatan Nasional Selangor yang dijalankan selama dua hari telah berlangsung dengan jayanya.

“Saya bersama 30 wanita PN Selangor terdiri daripada AJK dan Penyelaras Parlimen Negeri selesai mengatur gerak kerja gempur sebagai persediaan menghadapi PRU-15.

“Suara wanita suara keramat, namun bagi saya ‘suara wanita suara penentu’ dalam percaturan politik,” katanya.

Hadir sama, Srikandi BERSATU, Muslimat PAS dan Wanita Gerakan.

Rina berkata suara dan kuasa Wanita PN mampu menggegarkan arena politik umpama “movers and shakers” di peringkat akar umbi.

Justeru, beliau menyeru golongan wanita bersatu dan bangkit berjuang bersama dalam PRU15.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

“Bangkitlah WANITA PERIKATAN NASIONAL! Kita hadapi PRU-15 bersama,” katanya.