KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membongkar korupsi berhubung penyelewengan berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) dilihat begitu ghairah sehinggakan memangsakan keluarga orang tidak bersalah.

Ahli BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gubard berkata cara Rafizi dengan cara hentam keromo dalam pendedahannya akan mampu melepaskan penjenayah sebenar.

“Pertama sekali bagus Rafizi Ramli terus mengasak dan membongkar korupsi namun dalam keghairahan jangan sampai dapat saja maklumat terus ‘lambung’ kerana kesilapan meneliti kesahihan akan mengakibatkan fitnah, memangsakan keluarga orang tak bersalah malah dengan cara hentam keromo dalam pendedahan akan mampu melepaskan penjenayah sebenar.

“Kenyataan Rafizi terbaru menyatakan secara spesifik mengenai kewujudan syarikat Alizes Marine Limited milik ISTERI KEDUA kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ia adalah FITNAH kerana ZAINAB MOHD SALLEH bukan nama isteri kedua mahupun yang pertama, nama individu tersebut bukan isteri malah tidak dikenali.

“Menurut kenyataan terbaru Dialog Group Berhad menyatakan CFO syarikat itu telah dinyatakan secara salah sebagai pemilik Alizes Marine Limited. Zainab Mohd Salleh merupakan pasangan Dr Nor Azmi Mat Adenan, Pakar Perubatan di ADMC. Ternyata Rafizi salah!!!” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Razifi berkata kertas siasatan dalaman LCS menunjukkan Zainab Mohd Salleh terlibat dalam dua syarikat pesisir luar pantai – Alizes Marine Limited dan Alizes Marine Labuan, merupakan isteri kedua Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Namun, Abd Latiff menafikan tuduhan Rafizi yang merujuk Zainab Mohd Salleh, sebagai isteri keduanya.

Abdul Latiff berkata beliau bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Che’gubard berharap Rafizi tidak cuai dengan meneliti dokumen agar tidak memberi maklumat yang tidak sahih.

“Rafizi harapnya jangan cuai dalam meneliti dokumen.. nama sebenar Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dimaksudkan ialah Dr Abd. Latiff Ahmad bukan Abdul.. semua dokumen rasmi seperti daftar niaga dan sebagainya sudah tentu menulis nama dalam dokumen pengenalan seperti pasport atau kad pengenalan. Maka apabila menyatakan kewujudan daftar syarikat atas nama Abdul Latiff Ahmad bersama Zainab Mohd Salleh maka ia bukan Dr Abb Latiff Ahmad.

“Benar LCS menjejaskan kedaulatan, keselamatan dan melibatkan kehilangan wang negara, adalah bagus didedahkan tapi jangan main ‘lambung’ maklumat tak sahih.

“Keghairahan tak tentu hala Rafizi akan menyebabkan usaha ramai pihak dalam membongkar skandal LCS akan sedikit sukar,” katanya.