MERSING, 22 Ogos – Penyerapan anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) dalam Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) disokong sepenuhnya berikutan kepakaran didedahkan kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu setaraf standard antarabangsa.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata sejak 2008 anggota APM dilatih setiap tahun secara berkala membabitkan kakitangan kontrak, kekal dan sukarela.

Beliau berkata, disebabkan kepakaran mereka sentiasa dilatih, dipertingkatkan dengan kemahiran dan teknologi baharu, maka langkah menyerapkan mereka sebagai anggota SMART adalah wajar.

“Saranan penyerapan anggota PASPA itu dibuat memandangkan pasukan berkenaan berpengalaman berdepan pelbagai kejadian kecemasan dan bencana.

“Ilmu dan kemahiran yang sentiasa dipertingkatkan serta disokong penggunaan teknologi terkini adalah elemen penting bagi kejayaan pasukan khas APM menghadapi keadaan bencana yang dinamik dan kompleks.

“Jadi, sewajarnya perkhidmatan mereka seimbang dari segenap aspek seperti dinikmati anggota pasukan elit yang lain. Sekarang, perkhidmatan anggota APM tidak berterusan dalam SMART kerana apabila tamat kontrak, mereka akan balik semula ke perkhidmatan asal,” katanya selepas Majlis Penutup Latihan Kemahiran PASPA di Pantai Air Papan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed.

PASPA yang ditubuhkan secara rasmi pada 2008 adalah pasukan khas diiktiraf Majlis Keselamatan Negara untuk berada di zon merah lokasi bencana atau kecemasan selepas melalui pelbagai cabang latihan dan kursus kemahiran serta berkepakaran tinggi.

Dr Abd Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing berkata, kebanyakan warga APM membabitkan sukarelawan berbanding anggota kontrak dan tetap yang kini ada kurang 4,000 orang.

Katanya, perubahan cuaca, bencana tidak diduga menyebabkan APM memerlukan lebih ramai individu perlu dilatih terutama sukarelawan dalam kalangan orang kampung.

Beliau turut meminta Aminurrahim berusaha meletakkan PASPA pada kelas tersendiri, sekali gus diiktiraf sebagai pasukan elit bagi menangani bencana.