TUARAN, 22 Ogos – Kepelbagaian suku kaum etnik yang terdapat di Sabah perlu dimartabatkan sebagai warisan khazanah budaya dan tinggalan kepada generasi yang akan datang.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kepelbagaian itu dapat dilihat apabila terdapat kira-kira 30 etnik dan 200 subetnik di Sabah yang perlu dipelihara khususnya dalam usaha mempromosikan budaya masing-masing.

“Ini adalah salah satu inisiatif dalam hala tuju Sabah Maju Jaya, kita kena martabatkan semua bangsa di Sabah ini terutama dalam usaha dalam mempromosikan budaya mereka selain untuk cucu cicit kita di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) di Kampung Lok Batik di sini pada Ahad, dan antara yang turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee, dan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Terdahulu Hajiji yang juga Presiden PRBSS dalam ucapannya berkata pusat kebudayaan itu akan mampu menyumbang kepada kebanggaan dan kemajuan sosiobudaya etnik Bajau Sama di negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Sulaman berkata pusat kebudayaan PRBSS itu dibina di kawasan seluas 1.42 hektar siap pada Julai lepas dengan peruntukkan sebanyak RM7.5 juta.