KUALA TERENGGANU, 22 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) giat mengesan peniaga yang masih menaikkan harga makanan sehingga menekan pengguna walaupun harga bahan mentah stabil.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, mana-mana peniaga yang menaikkan harga makanan sehingga menekan pengguna berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kerana mengambil keuntungan secara berlebihan.

“KPDNHEP memandang serius isu peniaga yang mengenakan harga makanan tidak masuk akal kepada pelanggan.

“Ketika harga ayam naik tempoh hari, peniaga cepat-cepat menaikkan harga makanan namun kita perhatikan sekarang harga makanan masih naik walaupun harga bahan mentah telah stabil,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Persatuan Pegawai Syariah Terengganu di sini, pada Ahad.

Menurut Rosol, sebahagian daripada anggota penguat kuasa KPDNHEP akan melakukan penyamaran bagi memantau sendiri situasi itu di mana-mana premis kedai atau gerai makan.

“Ada seramai 2,300 anggota penguat kuasa di seluruh negara. Sesetengah pegawai penguat kuasa akan berpakaian seperti orang awam (preman) ketika melakukan siasatan di lokasi-lokasi disasarkan,” katanya.

Rosol berkata, orang ramai pula diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib bagi memudahkan tindakan diambil.

Tambah beliau, setakat ini belum ada tindakan diambil kerana setiap tindakan perlu mengikut saluran betul dan siasatan terperinci termasuk melibatkan kos bahan dikeluarkan untuk menghasilkan makanan.