PUTRAJAYA, 22 Ogos – Kementerian Pendidikan menerima 19 aduan berkaitan buli sejak portal aduan buli dilancarkan, pada Khamis lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata semua aduan berkenaan kini sedang diteliti sebelum sebarang tindakan dapat diambil.

“Menerusi portal ini, kita ada tiga platform untuk membuat aduan, iaitu menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) kita terima sebanyak 16 aduan, manakala tiada aduan diterima menerusi emel.

“Selain itu sejumlah lima panggilan telefon diterima namun kesemuanya bertanyakan berkaitan portal berkenaan dan platform terakhir adalah menerusi aplikasi WhatsApp iaitu terdapat 10 pertanyaan berkaitan portal dengan tiga lagi adalah aduan buli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Platform Pembelajaran Digital atau Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1), di sini hari ini.

Bagaimanapun Radzi berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat berkaitan negeri yang paling banyak kes atau sama ada sekolah bandar atau luar bandar.

“Apa yang penting, apabila kita terima aduan itu kita akan buat penelitian yang mendalam untuk ambil tindakan sewajarnya. Kerana bagi kementerian, sama ada kes itu berlaku di luar bandar atau bandar, di sekolah asrama atau tidak, semuanya kita akan buat penelitian. Kita tidak mahu anaktirikan mana-mana sekolah.

“Paling penting maklumat (aduan) itu sampai pada kementerian secepat mungkin untuk kita tangani kes berkenaan,” katanya.

Portal aduan buli dilancarkan minggu lalu, bagi membolehkan aduan mengenai kes buli di sekolah dilaporkan secara terus kepada KPM.

Portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli itu menyediakan tiga saluran untuk orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah.

Saluran berkenaan adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), emel (adubuli@moe.gov.my) atau aduan SISPA KPM yang tersedia di portal aduan itu.