KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Selain mendesak untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pertemuan tergempar antara Ketua-Ketua Bahagian UMNO dengan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di ibu negara, juga membincangkan mengenai kes perbicaraan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan.

Dakwaan itu dimaklumkan kepada Ahli BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gubard oleh kenalannya yang merupakan Ketua Bahagian UMNO.

“Dua perkara dikatakan menjadi isu perbincangan iaitu pertama, akan beri tekanan kepada Perdana Menteri mengenai Kes DS Najib Razak di Mahkamah Persekutuan. Mengenai isu siasatan SPRM terhadap Hakim Dato’ Nazlan.

“Kedua, meminta Ketua-Ketua UMNO Bahagian mengemukakan Usul di Mesyuarat-Mesyuarat UMNO Bahagian, untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk segerakan Pilihanraya Umum ke 15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Che’gubard turut mempersoalkan langkah UMNO untuk menekan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mencampuri urusan perbicaraan mahkamah dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Badan Kehakiman.

Ini kerana, katanya, pasti membawa persepsi buruk terhadap UMNO di mata rakyat dan pemimpin-pemimpin ASEAN dan dunia.

“Adakah ini satu langkah yang bijak? Untuk parti UMNO menekan Perdana Menteri mencampuri urusan perbicaraan di mahkamah dan siasatan oleh SPRM terhadap Badan Kehakiman (Judiciary).

“Ini pasti bawa persepsi buruk terhadap Umno dimata Rakyat dan pemimpin-pemimpin ASEAN dan Dunia ? MOCKERY OF THE JUDICIARY SYSTEM.

“Negara Malaysia akan berhadapan dengan ejekan daripada pemimpin-pemimpin ASEAN dan dunia mengenai sistem kehakiman negara ini,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan Ketua Bahagian UMNO seluruh negara sebulat suara meminta PRU15 diadakan segera.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berkata hasrat itu disampaikan dalam pertemuan tergempar antara mereka dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Jamal berkata, keputusan semua ketua bahagian itu akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh Ahmad Zahid atau Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.