JOHOR BAHRU, 22 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa perlu lebih berani melawan pihak-pihak yang mendesaknya supaya membuat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun daripada parti UMNO sendiri.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata negara masih ada lagi masa sehinggalah tamat penggal ini, iaitu pada tahun hadapan.

“Pilihan utama yang kita ada hanyalah mencukupi penggal yang ada membantu masyarakat mengaharungi situasi ekonomi yamg buruk.

“Masyarakat perlu pemimpin yang prihatin membantu mereka. Peniaga-peniaga juga perlu bantuan kerajaan untuk segera memulihkn ekonomi negara,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ismail yang menegaskan akan mengambil kira pelbagai isu dalaman negara selain keadaan ekonomi sejagat, sebelum membuat keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

Ismail Sabri berkata mungkin tidak sesuai buat pilihan raya masa ekonomi tengah teruk.

Dalam pada itu, Sahruddin berkata pergolakan politik yang teruk disebabkan tekanan-tekanan dari pihak-pihak tidak bertanggungjawap terhadap kerajaan hendaklah segera diatasi oleh pemimpin utama kerajaan.

Katanya, Ismail Sabri perlu memainkan peranan proaktif untuk mengatasi perkara itu.

“Perdana Menteri juga seharusnya lebih berani untuk mengawal dan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, perlu aggresif dan proaktif untuk memacu ekonomi negara.

“Keprihatian kepada rakyat perlu menjadi agenda utama dan tidak terpengaruh dengan desakan politik dari mereka yang tidak bertanggungjawab walaupun dari parti sendiri,” katanya.

Sahruddin berkata isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kapal tempur pesisir (LCS) perlu menjadi isu utama untuk diselesaikan.

Katanya, jangan terpengaruh dengan tekanan dari pihak luar untuk menyegerakan PRU15 walaupun dari parti sendiri.