IPOH, 22 Ogos – Sebanyak 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini selesai diagih untuk ditandingi BERSATU, Pas dan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, daripada jumlah itu sebanyak tujuh kerusi yang dimenangi parti masing-masing pada PRU14 lalu kekal status quo untuk ditandingi pada PRU akan datang.

Menurutnya, sebanyak 23 daripada 59 kerusi DUN di Perak pula masih belum diputuskan untuk ditandingi mana-mana parti komponen manakala 10 kerusi lagi dikenal pasti berlaku pertindihan.

“Di peringkat negeri sebenarnya kita telah pun mengadakan beberapa siri mesyuarat dan perbincangan di antara Badan Perhubungan BERSATU negeri dengan badan kepimpinan Pas Perak dan juga Gerakan negeri.

“Sebenarnya dari segi peringkat DUN ini kita dah hampir selesai untuk berbincang, hanya 10 kerusi yang bertindih dan baki kerusi yang belum ada keputusan mana-mana parti yang ingin meletakkan calon,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest 2022 Singapura di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Isnin.

Sementara itu, Zainol Fadzi yang juga Setiausaha BERSATU Perak berkata, bagi menyelesaikan masalah pertindihan kerusi, parti-parti yang mahu meletakkan calon di kerusi berkenaan perlu mengemukakan calon mereka.

Menurutnya, jika calon dikemukakan itu berpotensi untuk memenangi kerusi berkenaan, parti yang diwakili akan diberikan peluang bertanding di kawasan tersebut.

“Mekanisme yang kita guna setiap parti komponen mengemukakan nama calon, profil, penglibatan dan aktivitinya sepanjang dua atau tiga tahun. Kita nak tengok penerimaan dalam kalangan rakyat. Maknanya ada satu team yang akan membuat penilaian berdasarkan nama-nama yang dikemukakan oleh setiap parti.

“Contohnya satu kerusi Pas pun nak, Gerakan pun nak. Jadi masing-masing kemuka calon dan kita akan tengok calon mana yang ada kekuatan. Kita mengamalkan konsep musyawarah serta perbincangan secara terbuka,” katanya.

Jelas Zainol Fadzi, tujuh kerusi penyandang yang dimenangi pada PRU14 lalu ialah Sungai Manik (Bersatu), Tualang Sekah (Bersatu), Kuala Kurau (Bersatu), Chenderiang (Bersatu), Gunung Semanggol (Pas), Selama (Pas) dan Kubu Gajah (Pas).

Pada Ahad, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan rundingan mengenai agihan kerusi Parlimen dan DUN bagi PRU15 melibatkan parti komponen dalam PN dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.