KUANTAN, 22 Ogos – Satu lagi projek Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Pahang untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU)pekak dan bisu akan siap tidak lama lagi.

Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen BERSATU Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, projek itu melibatkan latihan jurubahasa isyarat bagi melahirkan sekumpulan sukarelawan bahasa isyarat untuk membantu golongan OKU ini yang mengalami kesukaran apabila hendak ke hospital, pejabat pendaftaran dan sebagainya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui dalam Program SDG : Peluang Kedua Kehidupan Baharu di LYC Car Spa, Jalan Haji Abdul Aziz, di sini pada Ahad.

Dalam program terbabit, Saifuddin memuji kesediaan pemilik LYC Car Spa itu yang telah menawarkan peluang pekerjaan kepada seramai 200 golongan bekas banduan, penagih dadah dan Orang Kena Pengawasan (OKP) menerusi projek SDG sejak 2018.

“Memang saya sangat menyokong program LYC ini. Saya anggap ini adalah satu teladan yang baik kepada majikan-majikan lain,” katanya.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan pelaksanaan SDG ke lapan iaitu Pekerjaan Baik dan Pembangunan Ekonomi sekali gus membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Program itu juga merupakan sebahagian daripada Program Hijrah inisiatif Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan mereka yang dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan OKP diberi peluang kedua dalam kehidupan.

“Kita faham, apabila mereka ini keluar daripada pusat, memang masalah utamanya mencari pekerjaan. Ada setengah-setengahnya terbuang daripada keluarga sendiri. Jadi bertambahlah masalah yang mereka hadapi.

“Tetapi di sini mereka juga disediakan hostel untuk mengurangkan tekanan hidup mereka. Sekurang-kurangnya dia ada tempat tinggal, ada pekerjaan dan ada pendapatan,” tambah Saifuddin.

Justeru, beliau menyeru para majikan dan masyarakat secara amnya memberi peluang kedua kepada golongan ini untuk membantu mereka meneruskan kehidupan dan tidak kembali kepada kehidupan lama.

Difahamkan, terdapat seramai sembilan orang daripada golongan bekas banduan, penagih dadah dan Orang Kena Pengawasan (OKP) yang masih berkhidmat di pusat cuci kereta itu manakala ada sebahagian daripada mereka telah pun mendapat peluang pekerjaan lain.