KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih sesuai diadakan pada Mei tahun hadapan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris berkata beliau setuju kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa PRU15 tidak sesuai diadakan pada tahun ini.

“Saya minta beri peluang pada dia betulkan keadaan kesihatan dan ekonomi kita.

“Pada saya jika habis penggal bulan Mei tahun depan, tahun depanlah adakan PRU15,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Razali berkata buat masa ini beri peluang kepada Ismail untuk membetulkan ekonomi negara.

Katanya, bermula tahun hadapan, terpulanglah bila masa sesuai untuk beliau bubar Parlimen dan adakan PRU15.

“Tak perlulah strategi sehingga parti kuat baru nak adakah PRU. Ini hanya sedap di sebelah parti pemerintah.

“Tak perlu tunggu sampai parti kuat baru nak buat PRU. Sebelum ini (BN) pun tewas juga,” katanya.

Sebelum ini Ismail berkongsi dengan media mengenai dilema mencari masa paling sesuai untuk mengadakan PRU demi memastikan kemenangan BN.

Selain keperluan mengurus isu-isu dalam negara, Ismail berkata unjuran badan-badan antarabangsa dan pemimpin dunia yang meramalkan ekonomi sejagat akan perlahan tahun hadapan perlu diambil kira.