KUALA LUMPUR, 23 Ogos – BERSATU menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd dan memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dikekalkan.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata keputusan ini juga membuktikan bahawa perjuangan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan maruah dan integriti politik negara adalah perjuangan yang benar.

Jelasnya, Muhyiddin dipecat oleh Najib dari jawatan dalam UMNO dan kerajaan semata-mata kerana beliau menuntut ketelusan dalam pentadbiran negara.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini adalah kemenangan rakyat. Berbilion ringgit wang rakyat dicuri oleh kepala kleptokrat Najib Razak. Mahkamah membuktikan bahawa Najib memang merompak wang rakyat.

“Muhyiddin dianiaya secara besar dua kali oleh Najib, Zahid dan kuncu-kuncu mereka dalam kluster mahkamah.

“Kemudian Najib dan Zahid berpakat sehingga 15 orang penyokong kleptokrat dari kalangan MP UMNO-BN menarik sokongan untuk memaksa Muhyiddin meletak jawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambil menyifatkan keputusan mahkamah hari ini adalah kemenangan rakyat, Wan Saiful berkata secara tidak langsung ia bermaksud Muhyiddin dan rakyat yang menolak Najib berada di pihak yang benar.

Namun katanya, mungkin ada pihak atau individu lain yang mahu ambil “kredit” atas penghakiman ini.

“Tapi sedarlah bahawa di antara mereka, ada yang sanggup menerima surat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri daripada Najib dan Zahid Hamidi kepada YDP Agong. Demi kuasa, kleptokrasi dilupakan.

“Tahniah Tan Sri Muhyiddin kerana terbukti sebagai seorang yang istiqamah dan berani memperjuangkan prinsip walaupun terpaksa hilang jawatan dan kedudukan!!

“Inilah dia pejuang sebenar yang hanya mahukan yang terbaik untuk negara dan rakyat dan membersihkan Malaysia dari kleptokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful mempersoalkan sikap pemimpin lain dalam UMNO yang cuba menegakkan benang basah mempertahankan Najib sehingga sanggup melempar pelbagai tohmahan terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) yang melantik Najib sebagai penasihat juga perlu menilai semula sikap mereka.

“Sesungguhnya sikap melutut menyembah wang yang dibawa oleh Najib dan disanjung oleh ramai kluster mahkamah UMNO adalah perosak negara dan bangsa kita.

“Tatkala seluruh dunia tahu bahawa Najib merompak, UMNO, MCA, MIC dan PBRS langsung tak malu mengangkat Najib. Budaya ‘malu apa’ inilah yang merosakkan BN.

“Rakyat perlu menilai UMNO dan Barisan Nasional. Mereka tidak malu mempertahankan Najib. Inikah parti yang Malaysia mahukan?

“Rakyat perlu menilai, adakah mereka masih percaya kepada kuncu-kuncu Najib dan Zahid dalam UMNO yang menyerang institusi kehakiman semata-mata untuk menegakkan benang basah. Inilah dia UMNO yang rosak, yang langsung tidak malu untuk mencampuri urusan mahkamah demi menjaga kepentingan peribadi,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menyeru pemimpin politik dan rakyat terus istiqamah membersihkan Malaysia dari kleptokrasi.

Ini berikutan usaha barisan pendakwaan yang cekal dan tabah walaupun cybertrooper UMNO menyerang mereka tak henti-henti, di samping sistem kehakiman negara mempunyai kredibiliti dan kebebasan dalam membuat keputusan.

“Mereka masih ramai dan masih berkuasa dalam UMNO, terutama Presidennya Zahid Hamidi yang sedang berhempas pulas mahu menjadi Perdana Menteri.

“Penghakiman hari ini menunjukkan bahawa sistem kehakiman negara kita mempunyai kredibiliti dan kebebasan dalam membuat keputusan, walaupun pasukan pembelaan Najib mencuba pelbagai langkah untuk melewatkan proses.

“Semoga negara kita dan politik kita menjadi lebih baik, lebih bersih dan lebih berintegriti. Kepada Allah kita berserah,” katanya.