PUTRAJAYA, 23 Ogos – Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang dipanggil pada saat-saat akhir pada prosiding kes Datuk Seri Najib Razak, meninggalkan mahkamah sejurus selepas permohonannya untuk berhujah menggugurkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, ditolak.

Beliau terlebih dahulu mendapatkan Najib, yang berada di kandang tertuduh selepas mahkamah menolak permohonan itu.

Terdahulu, Muhammad Shafee, yang membantu peguam utama, Hisyam Teh Poh Teik, berhujah dalam permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhir itu, memohon hujahan permohonan itu bermula pagi esok kerana beliau perlu menghadiri simposium di Parlimen, petang ini.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu dalam tempoh yang singkat dan menegaskan permohonan berkenaan bukan boleh diambil ringan.

Tengku Maimun bagaimanapun menolak permohonan berkenaan dan berkata, perkara itu akan diselesaikan hari ini juga.