KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ketua Armada BERSATU Malaysia Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan sikap Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang masih bermati-matian cuba menafikan perkaitan para pemimpin UMNO dalam kes skandal penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Wan Ahmad Fayhsal berkata suka atau tidak, skandal LCS ini berlaku pada zaman pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, untuk projek sebesar ini, penjawat awam dan pegawai biasa tiada kuasa (beyond their limits authority) untuk meluluskan, apatah lagi untuk ‘sakau-menyakau’.

“Projek berbilion, setiap bayaran pula ratus-ratus juta, pasti sekali melibatkan jerung bertaraf menteri di Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan. Ikan-ikan bilis punya tandatangan memang tak laku kalau nak luluskan bayaran jutaan ringgit, apatah lagi jutaan Dolar dan Euro. This is not rocket science, this is #Governance101!

“Siapakah Menteri Pertahanan sewaktu itu yang tandatangannya ada pada dokumen kontrak? – Zahid Hamidi!

“Siapa pula Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada ketika itu? – Najib Razak!” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Baru-baru ini, beberapa dokumen penting yang terkandung dalam laporan Audit Forensik dalaman Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) mengenai perolehan enam buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dinyahklasifikasikan.

Tindakan itu dibuat supaya seluruh rakyat Malaysia lebih memahami isu di belakang skandal LCS dan bersama mencari jalan penyelesaian.

Jelasnya, di peringkat perancangan pula, ketika Najib masih Menteri Pertahanan, muncul nama sebuah watak yang terpalit dengan kes Altantuya Shaariibuu pada 2006 dulu.

Ujarnya lagi, ia figura yang sama terlibat dengan skandal kapal selam Scorpene bernilai AS$800 juta. (syarikat Thales kini dituduh di mahkamah Perancis kerana membayar rasuah dalam kontrak ini, manakala DCNS/Naval Group yang menjual kapal selam dan terlibat dalam kontrak LCS ini adalah sebahagian daripada Kumpulan Thales)

“Siapa tandatangan kontrak ini? – Najib Razak!

“Hakikatnya, modus operandi (MO) yang digunakan para penyangak UMNO untuk merompak wang negara memang sebijik dengan MO yang mereka gunakan dalam kes 1MDB.

“Syarikat-syarikat luar pesisir yang misteri digunakan untuk melesapkan ratusan juta ringgit.

“Bila dibongkar, ternyata mereka di sebalik syarikat-syarikat ini adalah rapat dengan para pemimpin UMNO seperti Jho Low yang suka order Milo kalau bertandang ke rumah Najib Razak.

“Nak lari ke mana, Boskamu?” katanya.