PUTRAJAYA, 23 Ogos – Prosiding rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak dikejutkan dengan kehadiran peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin muncul di mahkamah untuk membantu hujahan Hisyam Teh Poh Teik.

Selepas Hisyam selesai berhujah dalam permohonan Najib supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir itu, beliau memberitahu mahkamah bahawa Firoz Hussein akan menyambung hujahan itu.

Firoz Hussein yang berada di galeri awam kemudian datang ke depan untuk memaklumkan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu.

Peguam itu memaklumkan bahawa oleh kerana Muhammad Shafee tidak dapat mengemukakan hujahan hari ini, beliau diminta untuk membantu Hisyam berhujah dan memohon supaya prosiding ditangguhkan selepas sesi rehat tengah hari.

Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram bangun membantah.

“Yang Amat Arif, ini bukannya sarkas. Orang boleh datang dan pergi,” katanya.

Tengku Maimun kemudian menolak permohonan Firoz Hussein dan akan membuat keputusan selepas mahkamah berhenti rehat.

“Tuan Haji (Hisyam) sudah mengemukakan hujahan lengkap dan menyeluruh. Kami tidak merasakan hujahan lanjut diperlukan,” katanya.